SABAK BERNAM - Seorang suspek terlibat lima kes pecah rumah yang sedang leka menjamah makanan dicekup polis di sebuah restoran mamak di Sungai Besar di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek yang juga penagih dadah berusia 30 tahun itu ditahan pada jam 9 malam.
Menurutnya, ketika ditahan, lelaki itu membawa sebuah komputer riba dipercayai ingin menjualnya kepada seorang pelanggan.
"Hasil soal siasat polis, suspek mengaku terlibat dalam lima kes pecah rumah sekitar daerah ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini hari ini.
Nor Azmi berkata, suspek yang memiliki lapan rekod jenayah dan narkotik itu menjalankan modus operandi dengan memecah masuk pejabat tapak projek perumahan, balai raya dan rumah penduduk.
Katanya, suspek turut mengakui menjalankan kegiatan itu bersama seorang lagi rakannya yang ketika ini menjalani hukuman penjara.
"Rakan suspek ditahan di Hutan Melintang, Perak dan kedua-dua mereka bergiat aktif menjalankan kegiatan pecah rumah sejak awal 2018.
"Bagaimanapun, selepas seorang daripada mereka dicekup polis Mac lalu, suspek utama tidak lagi bergiat aktif," katanya.
Katanya, berdasarkan maklumat dan risikan polis, suspek berjaya diberkas bagi membantu siasatan lanjut.
"Hasil serbuan itu, polis berjaya merampas beberapa barangan hasil curi bernilai RM3,000 seperti set komputer riba, jam tangan, telefon pintar, dua mesin pam air dan water jet.
"Turut dirampas, papan solat berpelekat, papan tanda lencongan diod pemancar cahaya (LED), kipas, dua jaring kipas dan sebuah peti suara," katanya.
Beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis MOP.
"Suspek sehingga kini masih ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.