SEBERANG PERAI TENGAH - Seorang wanita warga Vietnam ditemui mati dalam keadaan terlentang dan tidak berpakaian di atas sofa di ruang tamu sebuah rumah di Taman Duku, Juru petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa dikenali sebagai Thi Thuong Nguyen ditemui polis di rumah sewanya pada jam 1.35 petang.
Menurutnya, kematian mangsa yang tidak bekerja itu diketahui selepas rakan mangsa yang juga warga Vietnam telah menghubungi polis setelah mendapati pintu rumah mangsa terbuka serta lampu terpasang namun mangsa tidak kelihatan.
Tambahnya, rakan mangsa ke rumahnya selepas mangsa yang berusia 26 tahun itu gagal dihubungi sejak dua hari lalu.
"Selepas polis tiba, didapati mangsa terbaring di atas sofa dan terdapat kesan darah. Muka mangsa tertutup dengan tuala dan bantal yang juga terdapat kesan darah. Selain itu, terdapat kesan percikan darah pada lantai dan dinding berdekatan sofa mangsa dijumpai.
"Pemeriksaan pakar forensik mengesahkan terdapat luka pada tangan dan kecederaan lain iaitu tikaman di leher mangsa.
"Mangsa dipercayai telah meninggal dunia di antara dua hingga tiga hari lalu kerana sudah berbau. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi tadi.
Tambahnya, siasatan lanjut mendapati, pintu besi dan sliding di bahagian hadapan rumah itu berkunci namun pintu belakangnya tidak berkunci.
"Rumah sewa mangsa itu merupakan rumah teres setingkat dan terletak berdekatan jalan besar yang dipisahkan dengan deretan bangunan rumah kedai. Pemeriksaan di rumah kediaman yang mempunyai dua bilik, satu ruang dapur dan satu ruang tamu itu mendapati, tiada kesan pergelutan.
"Barang-barang di rumah itu juga tidak berselerak dan suspek dipercayai dikenali mangsa. Terdapat satu kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian rumah kedai yang mana, ia menghala ke arah pintu masuk rumah mangsa. Namun rakaman CCTV itu belum diperolehi," katanya.
Nik Ros Azhan berkata, mengikut keterangan pemilik rumah itu, mangsa mula menyewa di rumah tersebut sejak empat bulan lalu.