PUTRAJAYA - Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (MTSHN) akan meneliti pelaksanaan inisiatif Program Barang Asas 100 (BA100) yang dijangka boleh mengurangkan harga barangan, mengurangkan peranan orang tengah dan mengeluarkan sendiri barangan keperluan asas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mempengerusikan MTSHN itu berkata pelaksanaan BA100 akan melibatkan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) dalam usaha kerajaan menangani kos sara hidup.
Menurutnya, koperasi yang mempunyai keanggotaan seramai 6.1 juta orang setakat 30 Jun 2018 dapat memainkan peranan penting untuk membantu kerajaan menangani kos sara hidup melalui program pembangunan pemborongan, peruncitan dan pertanian.
"Melalui pemborongan dan peruncitan, ia melibatkan pengukuhan dan pemantapan pusat pengedaran koperasi. Peruncitan melibatkan pembangunan produk koperasi. Pertanian pula melibatkan penternakan, perikanan, sayur dan buah dan input pertanian,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga MTSHN di sini hari ini.
Antara yang turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof. Saifuddin Nasution menjelaskan BA100 adalah 100 barang asas termasuk tepung, gula, beras serta barangan yang biasa dibeli orang ramai hasil pemerhatian yang dibuat pihak koperasi.
"Ideanya adalah jika mereka boleh senaraikan 100 barang asas ini dan menguasai ekosistem yang meliputi pemborongan, pengedaran dan peruncitan dan mempunyai kedai, maka 100 barang ini dapat dijual di kedai mereka dengan harga yang lebih rendah,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata MTSHN juga bersetuju untuk mengembangkan program QFish ke seluruh negara dengan menggunapakai teknologi pembekuan ikan secara 'Individual Quick Freezing' dalam membantu kerajaan menstabilkan harga ikan di pasaran.
"Program QFish ini menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran kapasiti ikan daripada 561 metrik tan (MT) kepada 3,500 MT setahun,”katanya, sambil menambah usaha itu juga adalah untuk mengekang masalah kekurangan ikan di pasaran.
Dr Wan Azizah turut mengumumkan pelantikan lima anggota baharu MTSHN iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darrel Leiking; Peguam Negara Tommy Thomas; Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) Surina Shukri; dan Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha. - Bernama