PUTRAJAYA - Kadar tambang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan disemak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (MTSHN) dipengerusikannya menerima cadangan Kementerian Pengangkutan untuk menyemak kadar tambang ETS melalui pemansuhan kawalan tambang dan pelaksanaan struktur tambang dinamik bagi ETS.
MTSHN juga menerima cadangan Kementerian Pengangkutan bagi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menguatkuasakan perlesenan terminal dan mengawal selia caj yang akan dikenakan oleh pengendali terminal berdasarkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan terminal, katanya.
"Cadangan ini perlu mengambil kira kepentingan pengguna agar tidak membebankan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ketiga MTSHN di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof.
Saifuddin Nasution menjelaskan Kementerian Pengangkutan akan mengawal selia caj tersebut dengan memberi gred A, B, atau C kepada terminal berkenaan dengan mengambil kira kemudahan yang disediakan termasuk fasiliti untuk orang kurang upaya (OKU) dan tahap kualiti perkhidmatan.
"MTSHN juga memaklumkan agar pelaksanaan cadangan ini perlu mengambil kira kepentingan pengguna dengan tidak menaikkan harga tiket yang akan membebankan pengguna,” katanya. - Bernama