PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak menyeru kerjasama pemaju dan agensi kerajaan berkaitan menurunkan harga rumah serta memperbanyakkan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana rendah bagi menangani masalah lambakan rumah siap yang tidak terjual di negeri ini.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Yong Choo Kiong berkata, kerajaan negeri sudah melancarkan dasar perumahan baharu dengan menurunkan pelbagai caj dan fi seperti caj kemajuan bagi memberi kemudahan kepada pemaju melaksanakan projek perumahan pada kadar harga minimum untuk dinikmati rakyat Perak.
Menurutnya, fokus pembinaan lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana rendah pastinya memberi manfaat kepada golongan B40 berpendapatan isi rumah bawah RM3,500 untuk memiliki kediaman sendiri susulan kebanyakan rumah dijual ketika ini adalah di luar kemampuan mereka.
"Sebelum PH mengambil alih kerajaan Perak, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Cawangan Perak sudah mengumumkan sektor perumahan di Perak sedang mengalami kemerosotan teruk sehingga tahap pemaju hanya mampu jual satu rumah dalam setahun.
"Selepas kita ambil alih, perkara pertama dibuat adalah lancarkan dasar perumahan baharu dan sedaya-upaya memperbaiki keadaan sektor perumahan di Perak dengan menurunkan pelbagai caj dan fi termasuk caj kemajuan daripada 10 peratus kepada 7 peratus.
"Selain menyeru pemaju menurunkan harga rumah terutama dalam keadaan ekonomi lembap ketika ini, kita turut menggalakkan mereka bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan untuk membina lebih banyak rumah kos rendah dan kos sederhana bagi menjaga kepentingan golongan B40," katanya kepada media di sini hari ini.
Choo Kiong berkata, selain menggalakkan pemaju, kerajaan negeri kini sedang mencari jalan membantu golongan b40 untuk mendapatkan kelulusan pinjaman perumahan supaya mereka boleh memiliki kediaman sendiri pada masa hadapan.
Menurutnya, masalah kesukaran mendapat kelulusan pinjaman perumahan antara faktor utama ramai keluarga golongan b40 yang masih gagal memiliki kediaman sendiri di Perak.
"Masalahnya bila mereka hendak buat pinjaman bank, permohonan mereka ditolak setelah tidak memenuhi kelayakan ditetapkan bank atau berdepan masalah CCRIS atau CTOS.
"Hanya dengan menambah baik dasar perumahan negeri yang memberi manfaat kepada golongan B40 sahaja akan membantu mereka dalam memenuhi impian memiliki kediaman sendiri dan kerajaan negeri sentiasa komited ke arah itu," katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Perak menduduki tangga kedua bagi negeri yang mengalami masalah lambakan rumah tidak terjual berdasarkan statistik Pusat Maklumat Harta Negara (Napic) bagi suku ketiga tahun 2018 selepas Johor.
Bagaimanapun, hasil statistik menunjukkan tiada unit rumah tidak terjual di Perak membabitkan kuota Bumiputera, sebaliknya sebanyak 1,577 unit rumah tidak terjual di negeri membabitkan bukan Bumiputera.