JOHOR BAHRU - Kerajaan menawarkan insentif tambahan termasuklah lanjutan tempoh masa pematuhan bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha sawit melaksanakan pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO).
Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Chew Jit Seng berkata, pengusaha sawit terutama pekebun kecil dan sederhana diharapkan dapat memanfaatkan peluang berkenaan.
"YB menteri sudah melanjutkan tempoh masa untuk pematuhan selain mengumumkan insentif tambahan. Kita berharap pekebun kecil dan sederhana ini akan menggunakan peluang ini.
"Sebab kerajaan mengambil pertimbangan untuk menolong pengusaha sawit sama ada pekebun atau pihak industri bagi mencapai pensijilan dengan menawarkan insentif dan memanjangkan tempoh masa pematuhan," katanya.
Beliau ditemui Sinar Harian sebelum berlangsungnya Dialog Industri Minyak Sawit bersama Menteri Industri Utama, Teresa Kok di sebuah hotel di sini semalam
Menurutnya,sehingga Mei lalu, perkembangan bagi pengusaha sawit melaksanakan MSPO berlaku agak perlahan meskipun kementerian telah mengumumkan tarikh pematuhan wajib itu sejak Mei 2017.
"Kita berusaha untuk capai sasaran 100 peratus memiliki pensijilan MSPO menjelang hujung tahun ini, walaupun pada masa sekarang baru 36 peratus ladang sawit dan 48 peratus kilang sudah patuhi.
"Jadi menteri mengambil keputusan menawarkan insentif tambahan bagi semua perladangan skala kecil, sederhana dan besar serta pihak industri," katanya.
Dalam pada itu, Jit Seng berkata, pelbagai langkah sudah diambil termasuk mengadakan kempen kesedaran bagi menggalakkan pengusaha sawit melaksanakan pensijilan MSPO.
"Usaha meningkat kesedaran ada, cuma nak buat pensijilan ini perlu ada sistemnya. Pengusaha sawit kena sediakan sistem, sediakan proses, menjalani latihan dan sebagainya yang memerlukan pelaburan.
"Masalah lain adalah isu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti hak milik tanah dan syarat guna pakai tanah. Itu semua kena ada persetujuan daripada kerajaan negeri," katanya.
Menurutnya, bagi tujuan tersebut menteri besar dan ketua menteri di setiap negeri sudah diminta oleh menteri untuk membantu menyelesaikan masalah berkaitan agar lebih ramai memiliki pensijilan MSPO.
Ditanya mengenai dialog yang dianjurkan, beliau memaklumkan sesi tersebut adalah pertemuan antara menteri dengan semua pengusaha sawit di Johor khususnya yang belum memiliki pensijilan MSPO.