Produktiviti buruh Malaysia meningkat 2.2 peratus

Iklan
Darell Leiking

PRODUKTIVITI buruh Malaysia meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun kepada RM91,971 pada 2018 daripada RM89,925 sebelum ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Memetik Laporan Produktiviti 2018/2019 yang dilancarkan hari ini, beliau berkata sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan tertinggi sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun kepada RM86,921, diikuti dengan pembinaan (+ 3.4 peratus tahun ke tahun kepada RM43,882) dan pembuatan (+ 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM121,841).

Iklan
Iklan

"Tahun ini, sektor pembuatan diunjurkan tumbuh pada 4.8 peratus, disokong oleh perubahan ke arah produk nilai tambah yang tinggi, kepelbagaian dan kompleks.

"Sementara itu, sektor perkhidmatan dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan pada kadar yang rendah iaitu 5.7 peratus pada 2019,” katanya dalam ucapan semasa pelancaran Laporan Produktiviti 2018/2019 dan Laporan MITI 2018 di sini, hari ini.

Iklan

Walaupun sektor pembuatan dan perkhidmatan merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun, masing-masing sebanyak 2.4 peratus dan 3.5 peratus pada 2018, Laporan Produktiviti 2018/2019 menunjukkan angka tersebut masih rendah berbanding masing-masing 3.9 peratus dan 4.2 peratus pada 2017.

Bercakap pada sidang akhbar selepas pelancaran program itu, Darell berkata pertumbuhan yang menyusut itu disumbangkan terutamanya oleh eksport yang rendah di tengah tengah ketidaktentuan perdagangan global.

Iklan

"Malaysia merupakan negara pembuatan. Ternyata, terdapat isu berkaitan eksport memandangkan kebanyakan negara mengurangkan pesanan dan kontrak.

"Namun, bukan kita sahaja negara yang berdepan kesan daripada perang perdagangan yang masih berterusan antara Amerika Syarikat (AS) dan China...dan kita masih menyaksikan lencongan yang baik dan pesanan memberangsangkan daripada negara lain,” katanya.

Ditanya sektor yang akan mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan, Pengerusi Malaysia Productivity Corporation (MPC) Chua Tian Chang menjangka sektor terlibat ialah elektrik dan elektronik.

Darell berkata kerajaan akan berusaha untuk meringankan kesan konflik perdagangan itu selain cabaran yang dijangka berlaku di negara ini.

Mengenai unjuran pelaburan langsung asing, beliau kekal positif ia akan terus berkembang pada akhir tahun ini.

Sementara itu, Darell menyokong pandangan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde pada Isnin bahawa Malaysia perlu meningkatkan produktivitinya sekiranya ia mahu mencapai matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi dalam dekad akan datang,

"Saya berpendapat Malaysia adalah produktif, namun kita (kerajaan) perlu mengenal pasti kelemahan kita.

"Kita juga perlu memastikan mulai sekarang, pendidikan di negara ini perlu memberi tumpuan kepada pekerjaan untuk masa depan seperti pekerjaan berkaitan digital, dan pada masa yang sama memastikan produktiviti akan terus berkembang,” katanya.

Bertemakan"Memacu Produktiviti Negara,” edisi ke-26 Laporan Produktiviti 2018/2019 itu diterbitkan MPC yang mana dapatan dan analisis yang dibuat adalah berdasarkan data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia. - Bernama