PELAKON Wilma Muhamad mengakui tidak ada masalah untuk kembali aktif berlakon apabila anak-anaknya semakin membesar dan mampu berdikari. Apatah lagi, suaminya juga memberikan restu kepadanya untuk bergiat dalam bidang seni.
Menurut Wilma yang sebelum ini dikenali menerusi filem Ghazal Untuk Rabiah, dia kini tidak mempunyai masalah untuk bekerja.
"Saya bersyukur kerana suami dan anak-anak faham dengan kerja saya. Bila tak ada sesi penggambaran saya akan luangkan masa dengan mereka.
"Paling penting dalam mendidik anak-anak, saya utamakan agama. Selain itu saya juga sering pupukkan nilai cinta dan displin pada mereka.
"Sebelum keluar bekerja biasanya saya akan pastikan keperluan semuanya dah sedia dan teratur,” ujar Wilma yang tidak menghalang jika anak-anak mahu terlibat dalam bidang seni.
Terbaru, Wilma yang juga ibu kepada lima anak ini bakal muncul dengan filem epik berjudul 1875 yang akan menemui penonton tidak lama lagi. Ia juga merupakan penampilan pertama kali Wilma dalam filem sejarah.
"Menerusi filem ini saya memegang watak sebagai Toh Puan Long Lijah yang agak mencabar memandangkan tidak banyak rujukan mengenainya.
"Bagi melakonkan watak ini, saya banyak meluangkan masa dengan penulis skrip, Muha Aziz memandangkan hanya dia yang boleh menggambarkan watak itu seperti dimahukannya,” katanya.
Mengakui situasi industri seni hari ini sangat berbeza berbanding di awal kemunculannya dahulu, Wilma tidak menafikan peranan yang dimainkan media sosial dalam mempromosikan seseorang artis.
"Jika dulu, tak ada perkara tular seperti hari ini. Mungkin kerana kepesatan media sosial, ramai yang mudah tahu perkara-perkara yang mereka ingin tahu mengenai artis kegemaran mereka.
"Sejujurnya, Instagram sangat membantu dalam kerjaya seseorang artis, namun ada faedah dan kekurangannya. Jadi, perlu gunakannya secara betul,” akhiri Wilma.