PASIR GUDANG - Lebih 60 anggota dan pegawai Unit Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari seluruh negara memberi bantuan dalam operasi nyah cemar dan pemantauan kualiti udara yang dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor di daerah ini.
Pakar Hazmat Negeri Sembilan, Timbalan Penguasa Bomba Mohammad Idrus berkata, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak antara negeri menyertai bantuan insiden pencemaran udara masuk hari keenam itu.
"Hazmat membantu membuat semakan kualiti udara. Kami turut membawa alat pengesan dan kepakaran untuk membantu operasi di Johor. Operasi hari ini adalah bagi mengesan pencemaran udara di kawasan perindustrian Pasir Gudang.
ARTIKEL BERKAITAN: Pantauan, penguatkuasaan lemah punca pencemaran berulang
"Kita telah gerakkan empat pasukan pengesan ini membuat pemeriksaan yang mana satu pasukan membuat pemantauan di tiga hingga empat lokasi yang ditentukan dan membuat perbandingan bacaan dari hari pertama hingga hari ini," katanya.
Menurutnya, setakat ini, kualiti udara di lokasi berkenaan masih dalam keadaan baik namun bergantung kepada keadaan sepanjang 24 jam.
"Bacaan kualiti udara juga akan dibuat sepanjang tempoh ini terutamanya di kawasan kilang atau kawasan di luar membabitkan radius 15 kilometer dari lokasi kejadian pertama," katanya.
Mohammad berkata, pihaknya akan terus bersiap sedia di Pusat Gerakan Operasi Pemantauan di Stadium Perbandaran Pasir Gudang untuk sebarang arahan.