Tangkap ikan keli pun panggil bomba...

Iklan
Anggota bomba menunjukkan ikan keli yang ditangkap di dalam kolam di rumah wanita terbabit yang didakwa menyengat kucing wanita terbabit hingga mati. - FOTO: IHSAN JBPM SELANGOR

SHAH ALAM – Hanya kerana kucing peliharaan mati disengat ikan keli, seorang wanita menghubungi bomba untuk menangkap ikan keli itu.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian jam 7 pagi tadi, bilik kawalan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menerima panggilan daripada seorang wanita berusia 49 tahun yang tinggal di sebuah kediaman di Jalan Pulau Indah di sini mengadu mengenai hal berkenaan.

Jurucakap JBPM Selangor berkata, pihaknya menerangkan kepada wanita terbabit ia bukan kes kecemasan yang memerlukan khidmat bomba.

Iklan

"Lagipun ia bukan dalam skop tugasan bomba dan bukan kes kecemasan mendesak, namun wanita itu mempertikaikannya dan mendakwa jika bukan tugas bomba, siapa yang patut melakukan tugas itu.

"Wanita itu memberitahu tiada siapa yang dapat menolong kerana hanya dia dan anak lelakinya saja di rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Iklan

Katanya, seramai empat anggota dari BBP Kota Anggerik ke lokasi kejadian untuk menangkap ikan berkenaan.

"Ketika anggota tiba di lokasi, ikan keli belaan itu berada dalam kolam di tepi rumah pengadu sebelum ditangkap.

"Ikan seberat kira-kira 3 kilogram itu kini disimpan di BBP Kota Anggerik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan panggilan kecemasan.

"Mereka sepatutnya tahu membezakan antara kes kecemasan atau sebaliknya kerana ia boleh mengganggu tugas anggota sekiranya berlaku kes kecemasan yang lebih penting,” katanya.

Sementara itu, kejadian berkenaan turut tular di laman sosial dan mendapat pelbagai komen daripada netizen.

Rata-rata netizen mempertikai tindakan wanita terbabit kerana dianggap tidak tahu membezakan kes kecemasan selain membuang waktu anggota bomba dengan tugasan remeh temeh.

Pemilik akaun Facebook, Brader Amir Bundle menulis ‘Saya rasa orang-orang yang call (hubungi) bomba untuk buat benda-benda macam ini patut kena saman atau diambil tindakan sewajarnya.

Sementara Sofwan Syahmi turut memberi komen ‘Tolong la rakyat Malaysia. Yang mengarut-ngarut tu minta tolong jiran sudah.

Dalam masa sama, terdapat juga netizen turut bangga, dan tidak kurang juga simpati dengan anggota bomba terbabit.

Pemilik akaun Facebook, Yuz Parhusip menulis ‘abang bomba semua terbaik’ dan Sam Eto ‘Kesian abang bomba’ manakala Zul Yusoff ‘Syabas JBPM dan abang-abang bomba yang tidak pernah memilih dalam memberi khidmat kepada masyarakat.. i love bomba..’

Ada juga menganggap kejadian sebagai bahan jenaka di mana ada yang menulis ‘beli pandai, tangkap tak reti’ dan ‘alah ikan keli jer pun, itu pun nak takut.’