Usaha pulihkan Malaysia Airlines kini tugas sukar

Iklan
Dr Jomo Kwame Sundaram

KUALA LUMPUR - Ciri-ciri perniagaan syarikat penerbangan yang berintensifkan modal, terutamanya dalam keadaan perniagaan sekarang, menjadikannya lebih sukar untuk memulihkan semula Malaysia Airlines Bhd (MAB).

"Industri penerbangan sangat sukar; ia bukan mudah. Hampir semua syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat berada dalam situasi bankrap kecuali Delta,” kata Penasihat Penyelidikan Kanan Institut Penyelidikan Khazanah, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram.

Iklan
Iklan

Justeru, beliau berpandangan langkah untuk memulihkan syarikat penerbangan nasional tu dalam keadaan persekitaran perniagaan yang sukar adalah satu tugas berat, dan kemungkinan untuk berjaya adalah tipis.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) baru-baru ini menurunkan unjuran 2019 bagi industri pengangkutan udara global berikutan peningkatan harga bahan api dan kelembapan ketara perdagangan dunia.

Iklan

IATA, yang mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan yang membentuk 82 peratus daripada trafik global kini menjangka industri menjana keuntungan US$28 bilion (US$1 = RM4.13) ‒ kurang hampir US$8 bilion berbanding unjuran Disember 2018 yang berjumlah US$35.5 bilion.

"Pertama-tamanya ia adalah perniagaan yang sukar,” kata Jomo sambil menambah kehilangan pesawat malang MH370 dan kemudiannya diikuti insiden MH17 ditembak jatuh telah memburukkan lagi keadaan syarikat penerbangan itu.

Iklan

Oleh itu, pelan pemulihan kali ini perlu dilihat dengan teliti, katanya.

"Kita perlu melihat masalah dari segi sejarah, termasuk penswastaannya pada era 1990-an, dan cuba untuk memikirkan apakah yang wajar pada masa depan,” katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas mengenai rancangan kerajaan untuk menjual Malaysia Airlines.

Terdahulu, hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan berhasrat menjual Malaysia Airlines tetapi identitinya sebagai syarikat penerbangan nasional perlu dikekalkan.

Dr Mahathir berkata, syarikat penerbangan itu terus mencatatkan kerugian walaupun banyak pembaharuan yang telah dilakukan.

"Jadi, kali ini, kita perlu lebih berhati-hati dengan langkah untuk memulihkan Malaysia Airlines.

"Ia bukan hanya sekadar perubahan pengurusan, banyak yang silap dengan syarikat penerbangan itu, yang perlu diperbetulkan,” kata perdana menteri.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai menjawab gesaan dua tokoh veteran Malaysia Airlines termasuk bekas ketua pegawai eksekutifnya Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, agar pengurusan syarikat penerbangan itu dirombak selepas gagal berada dalam senarai 20 syarikat penerbangan terbaik dalam satu kaji selidik antarabangsa.

Aziz berkata, Malaysia Airlines, yang turun dua tangga ke kedudukan ke-36 dalam kaji selidik tahunan terbaharu Skytrax bagi 100 Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia, telah ‘hilang kelasnya’. - Bernama