BUKIT MERTAJAM - Empat lelaki ditahan bersama sejumlah dadah dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah di Lorong Sentul 24, Taman Bukit Minyak di sini petang semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 5 petang itu, polis merampas satu paket plastik lut sinar yang mengandungi hablur kristal disyaki syabu seberat 6.58 gram dan sebutir pil ekstasi serta peralatan menghisap dadah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika serbuan dilakukan terdapat lima individu lain termasuk dua wanita di dalam rumah terbabit.
"Lima individu terbabit ditemui sedang duduk di atas lantai di kawasan ruang tamu dan pemeriksaan dibuat ke atas mereka tidak menemui apa-apa yang meragukan.
"Empat lelaki yang sedang duduk di lantai pula ditemui dalam bilik di tingkat atas. Pemeriksaan yang dilakukan di dalam bilik itu kita menemui sejumlah dadah dan alat menghisap dadah," katanya ketika dihubungi di sini.
Nik Ros Azhan berkata, semakan yang dilakukan mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai 20 rekod jenayah lampau termasuk dadah dan ujian saringan urin dilakukan mendapati kesemua positif dadah jenis methamphetamin.
Sementara itu, polis menahan 10 individu termasuk empat remaja perempuan bawah umur yang dipercayai mengadakan pesta dadah dalam serbuan berasingan kira-kira jam 10 malam di sebuah bilik hotel di Taman Chai Leng di sini.
"Tiga remaja perempuan yang ditahan berusia 15 tahun dan seorang lagi berusia 17 tahun manakala rakan lelaki mereka berusia 15 hingga 31 tahun.
"Pemeriksaan yang dilakukan di dalam bilik berkenaan menemui satu bungkusan dadah jenis ketamin seberat 0.4 gram. Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati lapan daripada mereka positif dadah," katanya.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk tindakan lanjut.