SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan kerajaan meminda undang-undang sedia ada bagi membolehkan harta hasil daripada rasuah yang diletakkan sama ada dalam dan luar negara disita.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, mungkin ada dalam kalangan mereka yang melakukan jenayah rasuah ini tidak berasa gentar dengan hukuman yang dikenakan disebabkan jumlah suapan diterima adalah tinggi dan boleh digunakan di kemudian hari.
"Undang-undang sedia ada sudah terbaik tetapi memerlukan penambahbaikan. Sebagai contoh individu yang ambil rasuah, mereka boleh kata kalau ambil rasuah dan hantar ke luar negara. Walaupun dikenakan hukuman penjara dua atau tiga tahun, selepas bebas mereka boleh ke luar negara untuk guna wang berkenaan.
"Sekarang ini kita tidak ada undang-undang yang boleh menyita harta sama ada di dalam atau luar negara," katanya pada Wacana Sinar Harian ke- 112, Tanggungjawab Banteras Rasuah di Malaysia hari ini.
Menurutnya, individu yang dihukum mengambil rasuah melebihi nilai RM100,000 perlu dibatalkan pasportnya dan tidak dibenarkan keluar negara selama-lamanya.
"Begitu juga dengan ahli keluarga mereka. Jadi biarlah harta yang berada di luar negara itu menjadi harta berhantu. Dua pindaan undang-undang ini sangat penting untuk dilaksanakan di negara ini," katanya.
Jelasnya, melawan rasuah ibarat memadamkan kebakaran oleh pihak bomba dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dibantu untuk memadamkan api rasuah yang sedang marak di mana-mana sahaja sekarang ini.
"Kami sebagai badan bukan kerajaan (NGO) anti rasuah memainkan peranan mengajak masyarakat bersama-sama membantu melawan rasuah ini," katanya.