SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpendapat tempoh enam bulan sudah mencukupi bagi menilai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya yang baharu dilantik sama ada mampu atau tidak untuk mengetuai agensi itu.
Presidenya, Jais Abdul Karim berkata, beliau perlu belajar dengan cepat dan menunjukkan komitmen bagi menyelesaikan segala masalah di agensi itu.
"Walaupun pelantikan beliau agak kontroversi dan pihak kami turut mengkritik tindakan tersebut tetapi untuk berlaku adil, saya rasa peluang harus diberikan," katanya pada Wacana Sinar Harian Ke-112, Tanggungjawab Banteras Rasuah Di Malaysia hari ini.
Menurutnya, retotik tentang usaha menghapuskan rasuah oleh kerajaan tidak akan menyelesaikan masalah tetapi memerlukan suatu tindakan mantap kerana tempoh lima bukan masa yang lama.
"Kami melihat keinginan politik kerajaan baharu dalam melaksanakan program bagi memerangi rasuah dalam negara. Kita lihat bagaimana pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang telah dilancarkan itu sama ada mampu beri kesan atau tidak.
"Kita perlukan sesuatu yang praktikal dan apabila pelan antirasuah ini dilancarkan sebelum ini, kita memberi repons baik kepada usaha itu tetapi dalam masa sama kami berpendapat bagi tempoh lima tahun untuk mencapai apa yang diinginkan itu adalah sangat bercita-cita tinggi kerana ia terlampau singkat.
Beliau mendakwa, rasuah di Malaysia masih kritikal di mana ada segelintir penjawat awam terus melakukan jenayah rasuah seperti biasa.
"Kemahuan membanteras rasuah ini ini hanya diperingkat kerajaan sahaja. Kalau ditanya kepada orang awam mereka berpendapat situasi masih sama dan tidak berubah seperti sebelumnya.
"Kami (MCW) ditubuhkan pada Julai 2017 dan kalau dilihat sebelum pertukaran kerajaan baharu, kami hanya menerima 50 aduan tetapi sekarang 100 aduan. Masyarakat lebih berani buat perubahan untuk laporkan jenayah rasuah tetapi tidak ada perubahan di peringkat kakitangan awam. Itu kerisauan kerana ia adalah satu kebiasaan," katanya.
Mengulas lanjut, Jais menyambut baik hasrat Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador ketika mengambil alih tugas yang menyatakan dengan jelas hasrat beliau dalam memerangi rasuah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kita menyambut baik usaha itu tetapi ia tidak boleh hanya sekadar retorik. Tindakan agresif perlu diambil PDRM seperti mengenakan hukuman terhadap anggota polos yang terlibat dengan rasuah di hadapan khalayak umum seperti di Indonesia.
"Ada pemecatan jawatan dan buka baju uniform yang menunjukkan keseriusan anggota keselamatan kerana mereka adalah kubu negara. Mereka tidak boleh dibiarkan bergelumang dengan rasuah," katanya.