KUANTAN - Syarikat Lynas Sdn Bhd (Lynas) akan mengitar semula sisa penulenan larutan air (WLP) dalam tempoh lima tahun sebelum kilang melupuskan sisa yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi (NORM) siap dibina di Australia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze berkata, langkah itu dilakukan oleh syarikat memproses nadir bumi tersebut bagi memastikan tidak berlaku timbunan WLP di kilang miliknya di Gebeng di sini.
"Kita sudah melakukan pelbagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) membabitkan WLP dan Lynas berjaya menghasilkan bahan asas jalan dan produk perapi tanah dikenali sebagai CondiSoil daripada sisa atau bahan buangan selepas nadir bumi diproses.
"Semua ini (R&D) dilakukan melalui pengawasan daripada pelbagai pihak berkuasa yang berkaitan dan kita sudah beberapa kali disahkan selamat (untuk beroperasi) di Gebeng. Saya pun tidak faham kenapa masih ada pihak tertentu terus mempersoalkan status (keselamatan) operasi kilang kami," katanya
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui majlis sambutan hari raya Lynas di Gebeng di sini hari ini yang turut dihadiri ADUN Beserah, Andansura Rabu.
Menurutnya, pihaknya juga memberi jaminan sebarang proses pemindahan operasi syarikat itu tidak akan menjejaskan komitmen dan pelaburan mereka di Malaysia.
"Kitar semula adalah langkah pertama yang kita akan lakukan apabila bahan radioaktif akan dibuang dahulu di Australia sebelum di bawa ke Malaysia.
"Langkah kedua menyediakan pelupusan tetap (PDF) dan kerajaan negeri sudah pun meluluskan tapak untuk PDF namun kita belum tahu lokasinya di mana," katanya
Dalam pada itu, Amanda berkata, dakwaan sehingga membawa kepada laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh ADUN Semambu, Lee Chean Chung semalam, bukan perkara baharu untuk syarikat itu.
"Laporan seperti ini sudah biasa kami hadapi sejak Lynas beroperasi di Gebeng kira-kira lapan tahun lalu. Kita sudah melalui pemeriksaan oleh pelbagai agensi seperti Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) selain menyediakan laporan impak alam sekitar sebelum dibenarkan beroperasi.
"Saya tidak tahu apa masalah mereka. Kita sudah pun melalui proses Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas dan tuduhan-tuduhan yang dikemukakan juga bukan bersifat palsu. Namun Lynas juga sudah membuktikan operasi kita berisiko rendah dan mematuhi undang-undang yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, menurutnya, perancangan Lynas memindahkan operasi secara berperingkat ke Australia tidak menjejaskan komitmen pihaknya dalam menyediakan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada perkembangan ekonomi Malaysia.
"Kami akan terus mengekalkan komitmen kepada pekerja dan terus melabur di Malaysia walaupun supaya kami dapat terus menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di negara ini," katanya.