BELUM pun reda sepenuhnya episod duka pencemaran sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim yang menjejaskan kesihatan hampir 6,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah ditutup pada 7 Mac lalu, hari ini Pasir Gudang di Johor menangis lagi.
Sejak 20 Jun lalu, pencemaran toksik kembali menyerang.
Setakat semalam, difahamkan hampir 500 pusat pendidikan terkesan akibat udara yang tercemar dipercayai berpunca daripada pencemaran sisa toksik.
Situasi tersebut menyebabkan kesihatan dan nyawa pelajar diancam.
Berulangnya kejadian melibatkan pencemaran udara di Pasir Gudang dalam tempoh singkat sememangnya tidak boleh diterima.
Krisis terbaharu itu membuktikan wujud lompong kelemahan aspek perlindungan lama sekitar dan penguatkuasaan.
Laporan media menyebut terdapat 300 kilang berasaskan bahan kimia beroperasi di Pasir Gudang yang perlu dipantau secara rapi dan berterusan. Kerajaan dan agensi berkaitan seharusnya mempergiatkan lagi peranan mereka.
Periksalah sama ada aktiviti kilang-kilang itu penyumbang kepada krisis yang berlaku ini.
Pemimpin dan pentadbir pula kena realistik dan terkini.
Elaklah daripada menabur kenyataan-kenyataan mengelirukan.
Tolaklah jauh-jauh reaksi berbaur janji manis kononnya keadaan semasa krisis terkawal tetapi dalam masa sama beratus-ratus murid terus berkejaran ke hospital akibat sesak nafas dan muntah-muntah.
Kebijaksanaan kerajaan dalam menangani krisis terbaharu di Pasir Gudang akan diperhatikan.
Tragedi Sungai Kim Kim sudah membuktikan ada pengusaha kilang yang kemaruk untung membuang segala sisa beracun ke dalam sungai.
Ramai yang yakin udara bertoksik yang membaluti Pasir Gudang kini berpunca daripada aktiviti manusia.
Kesihatan dan nyawa penduduk tidak seharusnya diperjudikan.
Pemerintah perlu dilihat berfungsi paling maksimum untuk menangani kes terbaharu itu.
Jadikan kes Sungai Kim Kim sebagai iktibar dan selamatkan bumi Pasir Gudang. Rakyat rindukan kehidupan yang selamat!