MUSIM durian datang lagi! Bagi penggemarnya, inilah saat-saat yang dinantikan. Keenakan rasa dan keharuman bau raja buah itu terus didambakan.
Durian musang king, kunyit, D24 dan XO adalah antara pilihan popular menyimpan pelbagai nutrisi baik untuk kesihatan malah dikatakan baik untuk kecantikan kulit.
Malah, durian juga bakal menjadi sumber kekayaan baharu negara apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dijangka mengeksport 1,000 tan durian sejuk beku jenis musang king dan black thorn ke China setiap bulan dengan nilaian kepada eksport negara kira-kira RM500 juta setahun.
Laporan itu pastinya menggembirakan pekebun durian.
Kalau kena pada cara dan gaya, tidak mustahil lebih ramai pekebun durian bakal bergelar OKB (orang kaya baharu). Tetapi, bagi penggemar durian ia tidak mengubah apa-apa.
Kalau mengidam tetap kena beli walaupun harga durian tidak menentu.
Ada masa mahal ada ketikanya murah.
Baru-baru ini, Merak Jalanan ada terbaca mengenai cadangan meminta orang ramai memboikot penjualan durian timbang.
Sebabnya, ia menguntungkan orang tengah yang membeli durian dengan harga rendah daripada pekebun tetapi menjualnya pada harga tinggi.
Mereka mahu ‘kaya cepat’ hingga membebankan pengguna.
Bagi Merak Jalanan, kuasa memboikot atau meneruskan pembelian terletak pada diri kita.
Cadangan itu mungkin relevan dan mungkin juga perlu penilaian semula.
Ini kerana harga durian bergantung kepada penawaran dan permintaan.
Harga akan meningkat kerana kurang bekalan pada awal musim tetapi pesta harga runtuh bermula bila berlaku lambakan bekalan.
Tindakan boikot boleh dibuat jika penjual licik menipu menerusi taktik ubah suai alat penimbang. Bukan payah pun untuk jadi pembeli yang bijak!