Tunggangan lebih aerodinamik

Iklan
TIGA model Honda iaitu CBR500R, CB500F dan CB500X yang diperkenalkan oleh Boon Siew Honda baru-baru ini.

Honda CBR500R, CB500F dan CB500X keluaran Boon Siew Honda bakal beri kepuasan maksimum

SEJAK diperkenalkan ke pasaran antarabangsa pada tahun 2013, Boon Siew Honda akhirnya melancarkan tiga model middleweight iaitu Honda CBR500R, CB500F dan CB500X untuk pasaran tempatan.

Ketiga-tiga model itu telah berjaya menarik minat orang ramai terutama bagi pemilik motosikal berkuasa tinggi.

Iklan
Iklan

Model facelift tersebut telah menerima beberapa bentuk pembaharuan dan penambahbaikan. Antaranya ialah sistem brek antikunci (ABS), suspensi belakang baharu, klac assist/slipper dan lampu LED sepenuhnya. Tidak ketinggalan, panel instrumen LCD yang memaparkan maklumat seperti kedudukan gear dan indikasi menukar gear yang telah ditetapkan pada 8,750rpm.

DIKUASAKAN oleh enjin parallel-twin.

Honda CBR500R, CB500F dan CB500X dikuasakan oleh enjin parallel-twin yang mampu menjana kuasa 50hp kepada 8,500rpm dan tork 45Nm. Dibangunkan di atas kerangka jenis besi diamond-tube, jentera itu menjanjikan tunggangan yang lincah, kurang gegaran dan agihan berat seimbang.

Iklan

Honda CBR500R

Honda CBR500R muncul dengan penampilan baharu bersama fairing penuh dengan rekaan sporty berserta rekaan garis-garis tajam. Penampilannya diserlahkan lagi dengan lampu utama LED berkembar yang diinspirasikan daripada model Fireblade. Sportbike fairing penuh itu dikemas kini posisi tunggangan sporty dan lebih kuasa. Bar hendal juga sedikit rendah untuk memberikan posisi tunggangan yang lebih aerodinamik.

Kejuruteraan dalaman enjin dikatakan meniru model lebih besar iaitu CBR1000RR untuk menjanjikan bunyi lebih padu dengan kehadiran dual mufler baharu untuk bunyi lebih garang. Sementara inlet, ekzos dan injap pemasaan telah disemak semula untuk memberikan lebih kuasa pada julat pertengahan rpm enjin.

Iklan
WARNA merah Honda CBR500R dijangka menjadi buruan ramai.

Penunggang juga pasti seronok apabila menggunakan assist atau slipper clutch ketika menukar gear. Jentera itu didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu merah, kelabu metalik dam putih mutiara.

CBR500R ini boleh dimiliki pada harga RM34,499 seunit (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran).

Honda CB500F

CB500F hadir dengan reka bentuk badan serba baharu dengan gaya lebih agresif. 'Gaya' itu disempurnakan dengan bunyi enjin yang sporty menerusi peredam ekzos berkembar. Untuk memberi maklum balas yang mantap, CB500F dilengkapi bar hendal yang lebih keras, selain penyerap hentak tiub tunggal untuk roda belakang.

Kemas kini bahagian dalaman enjin dengan peningkatan kuasa dan tork 4 peratus antara 3,000-7,000rpm untuk prestasi lebih mengujakan turut ditawarkan Boon Siew Honda. Rekaan naked itu jelas menyerlahkan bentuk enjin yang terletak kemas di dalam kerangka. Bagi memberi aliran udara yang lebih lancar, bateri telah diposisikan sedikit jauh daripada kotak corong pengambilan udara.

CB500F

CB500F yang ditawarkan pada harga RM33,999 seunit itu didatangkan dengan tiga warna iaitu merah, hitam metalik dan putih mutiara.

Honda CB500X

Model touring itu dikemas kini dengan sentuhan lebih sofistikated menerusi gaya lebih 'tajam' dengan prestasi enjin dinaik taraf dan beberapa kemas kini teknikal. Motosikal adventure itu sememangnya terkenal kerana sifatnya yang mesra pengguna, jimat bahan api dan tahan lasak. Untuk model tahun ini, CB500X tampil dengan gaya kembara yang lebih berkuasa dan turut dilengkapi dengan dual mufler untuk bunyi lebih sporty.

CB500X

Sebagai sebuah jentera yang bercirikan touring yang boleh dibawa ke mana-mana sahaja, motosikal tersebut menggunakan suspensi lebih panjang di samping rim aluminium ringan di hadapan bersaiz 19 inci dengan rekaan baharu. Aspek aerodinamik ditambah baik apabila tekanan aliran udara di bahagian fairing dan skrin dikurangkan. Pada masa sama, memberi perlindungan apabila menunggang laju di atas lebuh raya serta ketinggian pelana ditingkatkan 830mm berbanding F dan R (785mm).

Bagi memudahkan penunggang menukar haluan, sudut stereng telah ditingkatkan kepada 38 darjah dari tengah ke full lock. Ia juga dilengkapi dengan klac antigelincir Assist & Slipper (A&S) untuk tukaran gear lancar. CB500X ditawarkan pada harga RM36,099 seunit dengan tiga pilihan warna iaitu merah, hitam metalik dan putih mutiara.

PAPARAN instrumen LCD baharu dengan paparan posisi gear dan anjakan naik (upshift).