SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) meminta agensi kerajaan bersikap profesional dan bersedia menerima kritikan daripada mana-mana pihak.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, ini kerana terdapat agensi yang memulaukan badan bukan kerajaan (NGO) itu selepas diberikan teguran mengenai perkara tidak betul yang berlaku.
"Pihak kami secara jelas memberikan komitmen tinggi membantu dalam membanteras rasuah tetapi selaku NGO apabila teguran diberikan mengenai perkara tidak betul, kami pula dipulaukan.
"Sebagai contoh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sendiri apabila kita mengkritik tentang pelantikan Ketua Pesuruhjaya baharu mereka tidak lagi jemput kita ke rumah terbuka mereka," katanya berseloroh pada Wacana Sinar Harian Ke-112, Tanggungjawab Banteras Rasuah Di Malaysia semalam.
Katanya, persepsi bahawa teguran positif bagi sesuatu perkara yang dianggap sebagai membangkang perlu dielakkan.
"Sepatutnya perkara itu tidak berlaku kerana pemikiran sebegitu adalah pemikiran tahun 1980-an. Kalau SPRM sendiri berfikiran kebelakang, Institut Integriti Malaysia perlu melatih semula pegawai mereka," katanya.
Menurutnya, peluang secukupnya perlu diberikan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi mengubah budaya rasuah di negara ini kerana tempoh setahun tidak mencukupi.
"Setahun mungkin tidak mencukupi kerana 60 tahun sebelum ini kita diselaputi dengan pelbagai debu yang sangat kotor dan jika mahu dibersihkan dalam setahun ia tidak cukup.
"Saya percaya Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) dan Institut Integriti Malaysia perlu bekerjasama dengan Pejabat Ketua Setiausaha Negara untuk mengeluarkan satu arahan wajib kepada setiap kakitangan hadir pada sesi sumpah ikrar bebas rasuah," katanya.
Jelasnya, jika sebelum ini pada zaman Tan Sri Abu Kassim dan Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, lafaz ikrar anti rasuah penjawat awam dibuat tetapi timbul persoalan adakah ia hanya sekadar di bibir dan tidak di hati.
"Saya difahamkan ada ujian khas kepada setiap penjawat awam untuk menilai tahap integriti mereka dan semestinya aduan yang diterima daripada masyarakat akan menjadi penanda aras keberkesanan kepada program angkat sumpah dan ikrar bebas rasuah ini," katanya.