PADA zaman milenial hari ini, kebanyakan suami isteri keluar bekerja untuk mencari nafkah buat keluarga masing-masing.
Meskipun nafkah merupakan tanggungjawab suami, namun kadangkala isteri yang bekerja turut membantu dengan mengeluarkan wang untuk perbelanjaan keluarga bagi meringankan beban ketua keluarga.
Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, ada suami yang bersifat kedekut untuk mengeluarkan perbelanjaan keluarga, apatah lagi isterinya tidak bekerja hingga memaksa wanita itu untuk menggunakan suami tanpa pengetahuannya.
Persoalannya, bolehkah seorang isteri itu menggunakan wang suami untuk perbelanjaan rumah tanpa izinnya?
Sebelum menjawab persoalan itu, perlu difahami bahawa nafkah adalah tanggungjawab suami.
Suami hendaklah memastikan semua perbelanjaan keluarganya mencukupi.
Namun, jika suami seorang yang kedekut, maka isteri bolehlah mengambil duit suaminya tanpa pengetahuannya iaitu sekadar had yang mencukupi untuk perbelanjaan harian seperti makan, minum dan persekolahan anak-anak sahaja.
Rasulullah SAW bersabda:"Ambillah apa-apa yang dapat menampungmu dan anak-anak kamu secukupnya." (Riwayat Muslim)
Dalam hadis itu jelas bahawa pengambilan wang suami itu ada hadnya yang mana si isteri hanya perlu mengambil untuk keperluan sahaja.
Sekiranya isteri mengambilnya melebihi keperluan diri dan anak-anaknya, maka hukumnya adalah haram.
Apapun, sebagai suami, jangan culas untuk memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Isteri pula perlu bijak mengatur perbelanjaan keluarga seandainya tidak bekerja dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan wang suami untuk perkara tidak bermanfaat.
(Sumber: Portal Soal Jawab Agama, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang)