PELAKON dan usahawan, Fizo Omar, akhirnya mengakui rumah tangganya yang dibina dengan usahawan Mawar Abdul Karim, berdepan masalah.
Mengakui sudah cuba memberikan yang terbaik untuk perkahwinan yang dibina sejak 2013 itu, Fizo bagaimanapun reda andai ditakdirkan berpisah.
"Saya tak salah Mawar atau mahu mengaibkan sesiapa pun. Apa yang berlaku adalah ujian ALLAH.
"Saya berdoa ALLAH kurniakan penyelesaian terbaik dalam rumah tangga kami. Seandainya Dia sudah tentukan perpisahan adalah yang terbaik buat kami, saya reda dengan ketentuanNya,” katanya dalam temu bual bersama Harian Metro.
Mengakui terkejut apabila mendapat tahu Mawar sudah bertemu peguam, Fizo berkata, setakat ini dia hanya menunggu perkembangan selanjutnya untuk menyelesaikan isu rumah tangga mereka.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada mereka masih tinggal sebumbung atau tidak, Fizo enggan mengulas.
Menurut Fizo, apa pun yang berlaku terhadap perkahwinan mereka, dia tidak akan mensia-siakan satu-satunya anak mereka, Wan Maryam, 2.
Sebelum ini, mahligai pasangan terbabit dikatakan berdepan masalah dan mula menjadi bualan apabila Fizo meraikan Aidilfitri berasingan dengan isteri dan anak.
Fizo dilaporkan beraya di Kelantan manakala Mawar dan anaknya pula meraikannya di Pulau Pinang.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada November 2013 dan dikurniakan anak perempuan.