Rotan murid enggan solat: Mahkamah pinda hukuman penjara guru agama

Iklan
Gambar hiasan

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan seorang guru agama yang didapati bersalah mencederakan kaki murid berusia 11 tahun dengan menggunakan rotan.

Bagaimanapun Hakim Datuk Abdul Halim Aman dalam ringkasan penghakimannya memutuskan, hukuman enam bulan penjara yang dikenakan terhadap Muhammad Adib Abd Halim dipinda kepada sehari.

Iklan
Iklan

Jumlah denda RM2,000 yang dikenakan sebelum ini oleh Mahkamah Majistret Kajang dinaikkan kepada RM4,000.

Muhammad Adib selaku perayu diwakili peguam Khairul Amin Abdullah manakala respondan diwakili Timbalan Pendakwa Raya R Puspharasi.

Iklan

Ketika ditemui pemberita, Khairul Amin memaklumkan anak guamnya akan dihantar ke Penjara Kajang dan akan dilepaskan lewat petang ini.

"Keluarga juga akan membayar denda tersebut," katanya.

Iklan

Pada 16 November 2018, Mahkamah Majistret Kajang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap Muhammad Adib selepas didapati bersalah dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas murid darjah lima itu di bahagian kaki kiri dan kanannya dalam kelas di sebuah sekolah rendah di Bandar Seri Putra, Hulu Langat, jam 2.25 petang, pada 16 Ogos 2017.

Kes Muhammad Adib ini menjadi tumpuan ramai dan tular di media sosial berikutan tindakannya merotan murid terbabit itu dipercayai kerana enggan menunaikan solat.