TAIPING - Dua lelaki bermotosikal dikesan aktif melakukan kegiatan samun dan ragut dengan menyasarkan golongan wanita yang memandu sendirian sekitar daerah itu sejak Januari lalu.
Suspek yang menganggotai Geng Takim dikesan mempunyai modus operandi sama iaitu menggunakan palam pencucuh untuk memecahkan cermin kereta sebelum melarikan beg tangan mangsa.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kegiatan suspek berusia 24 dan 30 tahun itu berjaya ditumpaskan dalam serbuan Ops Rentap di sebuah rumah di Simpang pada 17 Jun lalu.
"Serbuan sekitar jam 6 petang itu menahan kedua-dua suspek dan merampas pelbagai barangan antaranya telefon bimbit, pelbagai pakaian dan kasut serta sebuah motosikal Yamaha 125Z.
"Kumpulan ini dipercayai terlibat dalam 10 kes samun dan ragut di Taiping dan satu kes di Kuala Kangsar yang melibatkan kerugian dianggarkan bernilai RM15,000,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek telah dilanjutkan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau dalam jenayah curi kenderaan dan narkotik.
"Kita meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes jenayah agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membanteras jenayah di daerah Taiping,” katanya.