KUANTAN - Selepas kerajaan bersetuju meneliti pelaksanaan inisiatif Program Barang Asas 100 (BA100), Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad (Angkasa) yakin dapat merekodkan perolehan RM1 bilion yang mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, Angkasa bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diberi tanggungjawab oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bagi mencari jalan mengurangkan harga barangan keperluan asas dan peranan orang tengah.
Menurutnya, pihaknya juga yakin dengan program yang dilaksanakan itu akan dapat membantu mengurangkan secara puratanya 4 peratus lebih murah daripada harga barang-barang semasa pasaran.
"Perkara ini sudah pun mendapat persetujuan selepas mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) dipengerusikan Dr Wan Azizah semalam, jadi kita akan memastikan 100 kedai runcit di bawah Angkasa ketika ini dapat membantu menjayakan hasrat kerajaan ini.
"Bagi mengurangkan kos sara hidup pula, kita dapati ia boleh dilakukan dengan mengurangkan campur tangan orang tengah dan inilah peranan yang boleh dimainkan oleh Angkasa.
"Kalau kita lihat ketika ini terlalu ramai dan banyak lapisan orang tengah yang menjadikan barang akan menjadi mahal di kedai runcit menyebabkan pengguna terkesan dengan perkara itu.
"Kita boleh menggantikan peranan mereka (orang tengah) memandangkan Angkasa mempunyai rangkaian yang baik dengan lebih 3,000 koperasi di seluruh negara ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Anjuran Angkasa Zon 1, di Hotel Seri Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Fattah berkata, pihaknya sudah membelanjakan kira-kira RM3 juta bagi membangunkan aplikasi Platform Peruncitan Barang Asas (BARP) yang kini boleh digunakan ahli koperasi dan orang ramai bagi membeli barangan keperluan asas di kedai runcit atau koperasi di bawah penyeliaaan pihaknya.
Menurutnya, melalui aplikasi ini, pelanggan bukan sahaja boleh menempah barangan yang ingin dibeli, tapi pihak peniaga juga menyediakan perkhidmatan pembungkusan dan penghantaran kepada pelanggan.
"Aplikasi ini sama sahaja dengan perkhidmatan ditawarkan syarikat e-hailing lain, kita boleh buat tempahan dan pembayaran ketika penerimaan barangan atau dibayar secara pindahan wang internet.
"Kita percaya aplikasi ini dan melalui pengenalan program BA100, Angkasa dapat mencapai sasaran perolehan RM1 bilion tahun depan.
"Buat masa ini, hanya 100 kedai runcit dan koperasi ANGKASA terbabit secara langsung dalam inisiatif BA100... kita jangkakan pada tahun 2020 kita dapat mencapai 3,000 kedai runcit dan koperasi," katanya.