KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menafikan laporan sebuah akhbar arus perdana berbahasa Melayu kononnya Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berminat dalam menentukan hala tuju Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Unit Komunikasi Korporat KBS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perjumpaan di antara bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dengan Syed Saddiq di Menara KBS,Putrajaya, semalam lebih tertumpu kepada cadangan menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Iklan
Iklan
Abdul Rashid yang merupakan Ketua Bahagian Bersatu Kota Bharu dilaporkan berminat untuk merebut jawatan Presiden KAFA susulan peletakan jawatan penyandang, Bibi Ramjani Ilias Khan, baru-baru ini.
KAFA dijangka akan mengadakan Kongres Agung Luar Biasa (EGM) pada 6 Julai ini di Wisma KAFA, Kota Bharu bagi memilih barisan kepimpinan baharu untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan barisan exco.
Menurut kenyataan itu lagi Syed Saddiq bertegas tiada campur tangan atau penglibatan ahli politik dalam sukan seperti yang digambarkan dalam laporan itu yang mendakwa pertemuan di antara Abdul Rashid dan Syed Saddiq semalam turut membincangkan mengenai masa depan bola sepak Kelantan. Sehubungan itu, KBS berharap pihak tertentu berhenti mengeluarkan kenyataan sedemikian menerusi laporan akhbar ataupun medium lain.
"Pelbagai pihak berkaitan perlulah merujuk terlebih dahulu kepada wakil kementerian bagi mendapatkan kepastian terutama sekali terhadap isu-isu seperti ini.Kami sentiasa terbuka untuk dihubungi bagi tujuan tersebut, menurut kenyataan itu lagi. -Bernama
Artikel Berkaitan