IPOH - Kerajaan Perak akan melibatkan diri dalam perbincangan di antara Wisma Putra dan kerajaan Thailand berhubung penggunaan ruang udara menjelang operasi secara rasmi Lapangan Terbang Betong.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu telah dibawa kepada pengetahuan Wisma Putra kerana ia melibatkan isu keselamatan.
Menurutnya, pesawat yang akan mendarat di lapangan terbang yang dijangka beroperasi pada tahun 2021 itu sudah pasti akan melalui ruang udara negara ini di sebelah utara Perak memandangkan kawasan tersebut bersempadan dengan Pengkalan Hulu.
"Kita percaya apabila lapangan terbang beroperasi nanti, tentunya ada pesawat yang akan menggunakan ruang udara kita. Perkara ini perlu dibincangkan secara terperinci dengan pihak Thailand.
"Tentunya kita akan terlibat sama dalam perbincangan antara Wisma Putra dan kerajaan Thailand. Antara perkara yang akan dibincang tentang aspek keselamatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Perak, Zainal Azman Abu Seman, Exco-exco Kerajaan Perak dan pegawai kanan kerajaan.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga akan merancang sesuatu di kawasan berhampiran sempadan tersebut bagi memanfaatkan lapangan terbang berkenaan.
"Bila ada lapangan terbang ini, kita juga perlu merencanakan wilayah kita supaya boleh dimanfaatkan apa yang berlaku di Selatan Thailand itu nanti.
"Kita perlu fikirkan apa jenis industri yang sesuai berhampiran sempadan Malaysia-Thailand," katanya.