KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail memohon maaf kepada Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa berhubung penyiaran tulisan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya sebelum ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengarahkan perkara itu selepas Husam menang saman fitnah terhadap Dr Wan Zawawi.
Iklan
Iklan
Beliau turut memerintahkan Dr Wan Zawawi membayar ganti rugi dengan jumlah yang akan ditaksirkan oleh mahkamah dan kos perbicaraan sebanyak RM50,000.
Dr Wan Zawawi diarah supaya menarik balik artikel berkenaan dan menyiarkan permohonan maaf kepada Husam di akhbar nasional selama sehari.
Dalam perkembangan sama, mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi terhadap Dr Wan Zawawi daripada mengeluarkan apa-apa pernyataan fitnah terhadap Husam selepas ini.
Husam diwakili peguam Alawi Abdul Rashid manakala Dr Wan Zawawi diwakili peguam Rizwani Adam.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Husam memfailkan saman susulan penyiaran tulisan di Facebook Dr Wan Zawawi yang mendakwa Amanah Kelantan menerima duit dari seorang tauke judi parti DAP untuk digunakan bagi menjatuhkan Kerajaan Pas Kelantan.