TELUR banyak manfaatnya untuk kecantikan kerana ia mempunyai kandungan asid amino dan zat besi yang tinggi. Ia baik untuk penyembuhan sel dan juga penjagaan kecantikan.
Pun begitu, kuning telur tidak elok diambil selalu kerana kadar kolesterolnya yang tinggi. Berbeza dengan putih telur yang bagus untuk rawatan wajah anda.
Bagaimanakah putih telur berfungsi untuk wajah?
1) Tanggalkan blackhead dan whitehead
Caranya mudah, rendam kapas muka dalam putih telur, kemudian lekatkan pada bahagian bermasalah seperti hidung dan dagu. Biarkan ia kering. Selepas itu, tarik kapas muka tersebut dan lihat kotoran yang berjaya ditanggalkan. Putih telur menarik kotoran keluar daripada wajah, hasilnya kulit menjadi lebih licin dan halus.
2) Haluskan kulit
Cuba oleskan wajah anda dengan putih telur secara menipis. Biarkan selama 15 hingga 20 minit dan bilas dengan air suam diikuti air sejuk. Lakukan dua kali seminggu, nanti anda dapati kulit wajah tampak halus dan tegang.
3) Mencerahkan kulit
Ia mampu menyelesaikan masalah kulit wajah yang gelap dan tona tidak sekata. Caranya mudah, campurkan yogurt asli dengan putih telur. Gaul hingga sebati dan oles pada seluruh wajah dan leher. Amalkan seminggu dua kali.
4) Membuang lebihan minyak
Campurkan putih telur bersama sedikit perahan lemon dan oleskan pada seluruh wajah. Lemon memiliki kandungan alpha hydroxy acid (AHA) yang membantu mengimbangkan pH dan mengecilkan pori-pori wajah.