Kerajaan belum kenal pasti punca gangguan kesihatan

Iklan
Bee Yin dan Mohd Khuzzan pada sidang media hari ini.

PASIR GUDANG - Kerajaan masih lagi tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kejadian gangguan kesihatan di Pasir Gudang, setakat ini.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, ini kerana, sampel hasil ujian makmal daripada pesakit yang terlibat adalah negatif.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil keputusan ujian makmal daripada lapan pesakit mendapati ujian urin Cyanide, Blood Cyanide dan kompaun organik tidak stabil (VOC) adalah negatif.

"Jabatan Kimia Malaysia secara berterusan mencari punca sebenar apa bahan kimia dalam urin dan sampel darah pesakit, tetapi semua negatif.

Iklan

"Keadaan ini sangat berbeza dengan insiden Sungai Kim-Kim yang mana pada ketika itu memang ada bukti fisiologikal sama ada dari segi sampel urin dan darah tentang kandungannya (bahan kimia) ke atas para pesakit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Bee Yin berkata, berikutan itu, beberapa cadangan telah diberikan oleh Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik bagi memastikan keselamatan penduduk sekali gus menangani isu ini.

"Antaranya termasuklah mewujudkan stesen pemantau bahan-bahan cemar udara secara tetap yang mana ia bertujuan untuk memastikan pemantauan berterusan mengenai tahap kualiti udara.

"Stesen itu dapat mengesan secepat mungkin dan mengambil langkah lebih cepat," katanya.

Beliau berkata, selain itu, kementerian juga bercadang akan mewujudkan zon penampan di Pasir Gudang antara kawasan perindustrian dan komuniti setempat.

"Kedua-dua cadangan itu (sistem pemantauan dan zon penampan) akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan," katanya.

Katanya, cadangan lain juga termasuklah memperkenalkan sistem ramalan penyebaran kimia untuk menjadi sumber rujukan piawaian bahan-bahan cemar di Pasir Gudang berada pada bacaan normal.

Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata, setakat jam 12 tengah hari tadi, tiada pesakit baharu dimasukkan ke dalam wad.

"Jumlah ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang berada di wad adalah seramai enam orang.

"Setakat ini, sesi persekolahan dijangka bersambung semula pada Ahad ini dan bergantung kepada Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 14 sekolah di Pasir Gudang ditutup hingga Khamis