NEW YORK - Bintang TV Amerika Syarikat (AS), Kim Kardashian hari ini telah mencetuskan perdebatan di Jepun selepas dia menamakan pakaian dalam pembentuk tubuh 'Kimono' yang turut mendorong beberapa pihak mendakwanya sebagai tidak menghormati pakaian tradisional tersebut.
Ikon pop budaya mengumumkan pakaian dalam 'kimono' itu di Twitter dan turut memaklumkan dia mengambil masa selama setahun untuk 'mencari penyelesaian' bagi wanita.
Pengumuman itu bagaimanapun menerima pelbagai reaksi di AS dan Jepun hingga mencetuskan hashtag #KimOhNo.
"Dia telah ke Jepun beberapa kali. Saya terkejut. Dia tiada rasa hormat," kata seorang pengguna Twitter.
"Saya suka Kim Kardashian. Tetapi, tolong pilih nama lain jika ia dinamakan untuk merujuk pakaian dalam," ujar seorang lagi pengguna laman blog mikro tersebut.
"Kerajaan Jepun wajar failkan protes ke atas Kardashian," tegas pengguna yang lain.
Tidak semua mengkritik wanita itu, ada yang menyambut baik usahanya yang dilihat sebagai peluang untuk mempromosikan pakaian tradisional tersebut berikutan popularitinya semakin menurun di Jepun.
Kimono yang bermaksud 'sesuatu yang dipakai' kini hanya dipakai untuk majlis khas seperti perkahwinan. - AFP