Prolintas sumbang tiga kenderaan

Iklan
Zaitun bersama suami memegang replika kunci kenderaan saji yang diterima mereka untuk menjalankan perniagaan nasi berlauk di Bangi.

SHAH ALAM - Prihatin dengan masalah kenderaan yang dihadapi oleh dua pusat jagaan dan pertubuhan kebajikan di Kota Damansara serta Ukay Perdana, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) tampil membantu dengan menyumbangkan kereta pelbagai guna (MPV) untuk kegunaan penghuni di situ.

Selain itu, sebuah kenderaan saji turut disumbangkan kepada seorang peniaga makanan, Zaitun Awang, 51, yang beroperasi di Bangi.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, kenderaan saji serta dua MPV jenis Hyundai Starex yang mempunyai 12 tempat duduk bernilai RM284 000 itu diserahkan hari ini kepada Zaitun serta pemilik Pusat Jagaan Kasih Harapan Kota Damansara dan Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Hasanah, Ukay Perdana.

Beliau berkata, sumbangan tersebut merupakan salah satu jenis bantuan zakat perniagaan di bawah asnaf fisabilillah dan bertujuan membantu golongan yang memerlukan.

Iklan

"Penyerahan itu merupakan sebahagian daripada sumbangan zakat yang sebelum ini dihulurkan kepada institusi pengajian tinggi awam, masjid serta individu yang berkelayakan.

"Ia juga sebahagian daripada usaha berterusan Prolintas untuk mendekati golongan yang kurang berkemampuan di sekitar jajaran lebuh raya kendaliannya," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Prolintas 2019 di Pejabat Operasi LKSA, Alam Impian, di sini hari ini.

Iklan

Katanya, penyerahan sumbangan dalam bentuk kenderaan ini juga adalah pertama kali dilaksanakan pihaknya.

Sementara itu, Zaitun ketika ditemui memberitahu, beliau dan suami, Desni Anuar, 50, sangat bersyukur dan gembira kerana usaha mereka memohon kenderaan untuk berniaga menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) selama empat tahun berbaloi.

"Sebelum ini bila mohon asyik gagal tapi tak sangka permohonan terakhir pada tahun lalu berjaya.

"Alhamdulillah dan memang terkejut bila dimaklumkan LZS pada Jumaat lepas untuk datang ambil kunci pada majlis hari ini," katanya yang sebelum ini terpaksa berhenti berniaga makanan kerana masalah kenderaan.

Katanya, disebabkan itu dia akhirnya mengambil keputusan untuk menjadi pengasuh dengan anggaran pendapatan RM1,500 sebulan.

"Suami pun bawa lori sebelum ini dan gaji tak menentu... sebab tu kami usahakan juga untuk pohon dapatkan lori bagi membolehkan berniaga semula.

"Sekarang dah dapat kenderaan, kami suami isteri akan fokus untuk berniaga nasi berlauk," katanya.

Dalam pada itu, majlis Rumah Terbuka Prolintas dihadiri kira-kira 3,000 tetamu terdiri dari wakil agensi kerajaan dan swasta, institusi kewangan, organisasi media, wakil penduduk serta kakitangan.