Projek KIFT dimeterai semula

Iklan
Mukhriz (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Liu Jisheng dan Dr Mahadi (kanan) turut disaksikan Feng Hong Hai (tiga dari kiri) selepas MoU dimeterai antara LHF dan MBI hari ini.

ALOR SETAR - Pembangunan Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) dimeterai semula antara kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) dengan syarikat perikanan terkemuka China, Kumpulan Qingdao Lu Hai Feng (LHF) dalam skala lebih kecil dan berfasa.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, KIFT yang dicetuskan pada 2015 ketika beliau menerajui Kedah ketika itu, mengalami sedikit perubahan berbanding pelan asal setelah memorandum persefahaman baharu dimeterai antara LHF dengan Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI).

Iklan
Iklan

Menurutnya, terminal KIFT bernilai RM1 bilion ini akan dibina di Utara muara Kuala Kedah, berbanding lokasi asal dicadangkan sebelum ini di Tebengau (Selatan).

"Pembangunan terminal KIFT akan dimulakan dalam masa terdekat setelah peroleh Kebenaran Merancang (KM), namun operasi menangkap ikan Tuna di Lautan Hindi bermula bulan depan, memandangkan lesen sementara telah dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya, pada sidang media, selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara LHF dan MBI, di Wisma Darul Aman hari ini.

Iklan

Pada majlis itu, LHF diwakili Timbalan Presiden Qingdao Luhaifeng Foods Group Co. Ltd., Liu Jisheng, manakala MBI diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Mahadi Mohamad.

Turut menyaksikan perjanjian bersejarah itu, Jawatankuasa Kerja dan Pengarah Urusan Jawatankuasa Pentadbiran Zon Ekonomi Dongjiakou, Feng Hong Hai. Mukhriz berkata, operasi sementara akan dilakukan di Pelabuhan Langkawi sehingga KIFT siap sepenuhnya memandangkan Langkawi memiliki kemudahan terbaik dalam pelbagai aspek.

Iklan

"Langkawi sudah ada pelabuhan dan dermaga kapal boleh mendarat dekat, selepas ikan diproses dan perlu penghantaran melalui pesawat, kemudahan itu juga tersedia dengan adanya Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, ia sesuai untuk permulaan projek ini,” katanya.

Menurutnya, enam buah kapal milik syarikat itu yang sudah tiba di Langkawi, hanya menunggu lesen sementara daripada Jabatan Perikanan Kedah untuk memulakan kerja menangkap ikan Tuna di Lautan Hindi.

"Kerjasama ini akan jadikan Kedah sebagai pusat pendaratan ikan Tuna yang diproses di Langkawi, sebelum berpindah ke Kuala Kedah, dan dieksport ke China melalui Qingdao. Tentunya kita perlukan teknologi, kapal khas untuk penyimpanan ikan serta keupayaan mengeksport, semua kemudahan ini disediakan LHF bersama kerajaan Qingdao,” katanya.

Mukhriz yakin projek itu bakal menyaksikan perkongsian teknologi dari aspek penangkapan ikan laut dalam, pemprosesan ikan, pembekuan ikan menerusi teknologi canggih sehingga -60 darjah selsius seperti dimiliki sayarikat itu di Qingdao.

"KIFT memiliki dua fungsi, iaitu mendaratkan ikan dari Lautan Hindi serta menyediakan kemudahan kepada nelayan tempatan termasuk persisiran pantai dengan membina tempat pendaratan ikan nelayan tempatan, bermakna ia tidak jejaskan operasi nelayan tempatan,” katanya.