WASHINGTON - Hasrat syarikat media sosial gergasi, Facebook untuk melancarkan mata wang kripto sendiri mungkin bakal berdepan beberapa halangan termasuk penilaian yang ketat.
Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell berkata, kebimbangan tentang pelancaran mata wang Libra telah disuarakan pengawal selia di Eropah dan penggubal undang-undang di Washington.
Iklan
Iklan
"Kami sedang mengkaji dengan teliti. Melihat skala yang mungkin, saya fikir jangkaan kami daripada sudut pandangan pengguna dan pengawal seliaan adalah sangat tinggi," jelasnya.
Minggu lalu, Facebook berjanji mata wang kripto baharu yang bakal dilancarkan pada tahun depan akan memberi manfaat kepada lebih dua bilion pengguna media sosial itu dan mengurangkan kos transaksi serta membawa lebih banyak perkhidmatan kepada orang ramai tanpa akses kepada sistem perbankan.
Tetapi, pengawal selia melihat ia berpotensi disalah guna pihak tidak bertanggungjawab dan perkara itu dijangka dibincangkan dalam Sidang Kemuncak G20 yang berlangsung di Osaka pada Jumaat ini.
Pengerusi Lembaga Kestabilan Kewangan Antarabangsa, Randal Quarles dijadualkan membentangkan laporan tentang risiko aset kripto dieksploitasi untuk pengubahan wang haram dan membiayai keganasan kepada pemimpin G20.
Akhir minggu lalu, nilai bitcoin dilaporkan telah melonjak lebih AS$10,000 (RM41,370) buat pertama kali sejak Mac 2018. - AFP