JENAMA fesyen terkemuka Fendi sekali lagi mencipta keunikan apabila menjadikan sebuah taman di Villa Reale, Milan sebagai pentas peragaan sempena pertunjukan fesyen lelaki Koleksi Bunga/Panas 2019.
Berbumbungkan langit cerah, berdindingkan rimbunan pokok dan ditemani similir bertiup perlahan, barisan model segak mengatur langkah dalam persalinan busana berasaskan hijau sebagai nuansa utama.
Pemilihan rona itu bersesuaian dengan tema ala taman hasil eksperimentasi cetusan Pengarah Kreatif Fendi, Silvia Venturini Fendi.
Penampilan model lelaki berlainan kulit tampak menyerlah susulan kreativiti beliau memadankan hijau bersama palet warna bumi seperti hijau lumut, coklat gelap dan coklat lembut.
Apatah lagi digayakan dengan pelengkap gaya yang pelbagai seperti topi, sarung tangan dan tali pinggang.
Selain permainan rona menawan, koleksi lelaki Fendi kali ini turut menggunakan material bersifat maskulin. Antaranya sutera, kain kapas, bulu, kasmir, kulit, denim dan suede iaitu kain kulit haiwan yang sangat halus.
Dari segi rekaan pula, Koleksi Bunga/Panas 2019 jenama Fendi menawarkan seleksi pakaian sedia pakai (ready-to-wear) seperti jaket, kemeja, blazer, kot, sut overall termasuk seluar khaki dan seluar cargo yang memiliki poket pada bahagian sisi kaki.
Semestinya koleksi item tersebut wajib dimiliki para jejaka yang meminati gaya santai, kasual dan semi formal.