Nuex, Epie tepis stigma jurusolek lelaki

Iklan
SET kosmetik jenama NR Cosmetics yang dihasilkan Nuex sesuai diaplikasi oleh golongan wanita yang mempunyai pelbagai tona kulit.

BAIK Nuex Rosli mahupun Epie Temerloh, mereka pernah dilabelkan lelaki lembut hanya disebabkan memilih kerjaya sebagai jurusolek. Masakan tidak, bidang itu sebelum ini lebih dimonopoli golongan wanita.

Bagaimanapun, percaya bahawa arena seni itu luas tanpa mengira jantina dan status, Nuex atau nama sebenarnya, Muhammad Khairul Anwar Rosli, 33, dan Ahmad Firdaus Abd Aziz atau Epie, 32, tekad meneruskan langkah.

Iklan
Iklan

Nuex dan Epie mengaku, pada awal pembabitan mereka, rintangan yang dihadapi tidak pernah surut. Namun, ia sedikitpun tidak mematahkan semangat untuk mereka kekal bertapak dalam industri dan memberi sentuhan solekan terbaik kepada para pelanggan.

Nuex yang merupakan anak kelahiran Semenyih, Negeri Sembilan memberitahu Oh! Lelaki, beliau pernah menerima tawaran melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Iklan

"Bagaimanapun, saya menolak tawaran tersebut kerana lebih cenderung untuk menjadi jurusolek yang bukan sekadar merias, malah bijak menyusun strategi menjadi usahawan berjaya," katanya ketika ditemui di ibu pejabat NR Cosmetics di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Sementara itu, Epie yang berasal dari Temerloh, Pahang mempunyai pandangan tersendiri. Beliau percaya, jika seorang jurusolek ada kemahuan tinggi dan menyusun strategi yang mantap, nescaya berupaya membina sebuah empayar.

Iklan

"Sebenarnya, setiap pekerjaan mempunyai pro dan kontra. Bagi golongan lelaki khususnya, jangan malu bergelar jurusolek. Pokok pangkalnya ialah usaha kerana rezeki tidak datang bergolek,” tegasnya.

Kepada Oh! Lelaki, Nuex dan Epie menjawab pelbagai persoalan yang dilontarkan wartawan, Izyan Liyana Mohd Darif. Mereka antara lain berkongsi pengalaman, iltizam dan semangat selepas sedekad berkecimpung dalam dunia solekan.

1) Kenapa memilih kerjaya jurusolek berbanding bidang profesional lain?

NUEX: Jujurnya, kerjaya jurusolek tidak pernah terbit dalam kamus cita-cita saya disebabkan tidak memiliki bakat merias wajah. Bagaimanapun, minat dan seni itu lahir selepas menyertai kumpulan teater tatkala melanjutkan pengajian peringkat Master Sains Genetik di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sepanjang saya berkecimpung dalam kelab teater, biasanya para pelakon perlu menyolek sendiri khususnya solekan konsep teatrikal mengikut karakter dilakonkan.

Bermula dari detiklah saya berkebolehan memegang berus dan bermain palet warna hingga mendorong saya bersama sahabat baik, Syed Dewa (kini jurusolek artis) menawarkan khidmat solekan kepada mahasiswi di kampus pada harga serendah RM30.

Siapa sangka daripada sebuah bisnes kecil-kecilan akhirnya telah menjadi kerjaya sepenuh masa saya. Alhamdulillah, saya kini berjaya memiliki bilik pameran dikenali NR Cosmetics The Marble Room di Bangi.

EPIE: Minat menceburkan diri dalam bidang solekan bermula seawal usia 14 tahun selepas membelek majalah yang memaparkan foto penyanyi tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin dalam pelbagai gaya dan konsep solekan.

Pada masa itu, saya tertanya-tanya bagaimana setiap kepingan gambar menampilkan individu yang sama (Siti Nurhaliza), namun wajahnya kelihatan berbeza. Ibu menjelaskan, ia hasil sentuhan jurusolek yang merias wajah selebriti dengan mengaplikasi variasi teknik solekan agar tampil menawan di depan lensa kamera.

Kata-katanya membuatkan saya berkobar-kobar untuk menjadi jurusolek. Tambahan lagi, saya dimaklumkan kerjaya tersebut menjanjikan bayaran lumayan dan tidak memerlukan sijil pengajian tinggi.

2) Bagaimana penerimaan keluarga apabila anda berhasrat memilih bidang yang sinonim dengan golongan wanita?

NUEX: Pada mulanya, ibu dan ayah sukar untuk terima kerana menyifatkan saya mensia-siakan masa dan lelah di menara gading. Pun demikian, saya berjaya menyakinkan mereka bahawa perjuangan di dalam bilik kuliah akan membantu menjadikan saya usahawan merangkap jurusolek berilmu dan berakal.

Lagipun dunia perniagaan sudah sebati dalam kehidupan saya. Sejak di bangku sekolah rendah sebenarnya saya telah membantu ibu menjual nasi lemak di sekitar kawasan kejiranan Semenyih, Selangor termasuk mencari tin-tin kosong untuk dijual.

Inisiatif itu dilakukan demi mencari pendapatan sampingan bagi meringankan beban ibu yang tidak berkerja manakala ayah yang berkhidmat di sebuah syarikat swasta, perlu menyara kami lapan beradik.

EPIE: Saya bersyukur memiliki keluarga yang memahami dan sentiasa memberi sokongan. Lagipun keputusan itu dilakukan demi menyara keluarga saya yang hilang punca pendapatan selepas ayah diserang strok.

Enggan membiarkan ibu dan ayah buntu memikirkan perbelanjaan rumah dan pendidikan anak-anak, akhirnya saya berkorban berhenti sekolah ketika tingkatan dua. Biarkan adik-beradik lain meneruskan pengajian.

Namun, ayah berpesan agar saya pandai menjaga diri dan nama baik keluarga serta tidak terpengaruh dalam gejala negatif.

3) Sepanjang bergelar jurusolek artis, adakah anda pernah menerima kata-kata negatif hingga meninggalkan kesan cukup mendalam?

NUEX: Ya, pernah. Sebahagian besar individu berpendapat bidang solekan hak milik mutlak wanita hingga sanggup melemparkan tuduhan lelaki yang menjadi jurusolek ialah lelaki lembut.

Stigma lapuk itu memang tidak berasas sama sekali kerana kerjaya tersebut terbuka tanpa mengira gender. Dalam kerjaya ini, perkara yang penting ialah bakat, minat dan kesungguhan. Semuanya kena berjalan seiring.

EPIE: Pada awal penglibatan, saya pernah disisihkan beberapa jurusolek ketika diberi tugasan menyolek untuk sebuah majalah. Mereka memandang sinis hanya disebabkan saya tidak berasal dari Kuala Lumpur dan menggunakan nama, Epie Temerloh yang disifatkan tidak glamor.

Bagaimanapun, saya tidak mengambil peduli. Sebaliknya, bertekad menunjukkan kemampuan saya kelak. Alhamdullilah, kini saya bukan sahaja diberi kepercayaan dan tanggungjawab merias Siti Nurhaliza, malah berkolaborasi melancarkan set mekap bersama beliau.

4) Nuex dan Epie masing-masing merupakan jurusolek yang memiliki set kosmetik jenama peribadi. Bagaimana tercetusnya idea mengeluarkan produk mekap ini?

NUEX: Berbekalkan ilmu dalam bidang sains genetik dan pengalaman selama sembilan tahun menerokai kerjaya jurusolek, secara tidak langsung mendorong saya mengeluarkan set kosmetik di bawah label NR Cosmetics.

Idea itu mula-mula timbul selepas saya mendapati pengguna tempatan lebih cenderung mengoles produk timbang kilo yang kebanyakannya tiada kelulusan dan tidak melalui proses pembangunan dan penyelidikan (R&D). Saya berasa bertanggungjawab untuk 'menyelamatkan' mereka.

Meskipun, label NR Cosmetics dihasilkan daripada syarikat lokal, namun kualiti krim asas, krim pelembap, primer, bedak asas dan pembayang mata kami bertaraf antarabangsa yang membantu menyihatkan sekali gus mencantikkan kulit wajah pelbagai tona.

EPIE: Set Epie x Siti Pro Series tercetus ketika saya menyolek Siti Nurhaliza. Pada waktu itu, beliau sedang melayari laman sosial, Instagram dan terlihat video tutorial solekan selebriti antarabangsa, Kim Kardashian bersama jurusoleknya, Mario Dedivanovic.

Bertitik tolak dari situ, beliau menyarankan supaya kami berdua bekerjasama menghasilkan kit mekap dilengkapi item asas seperti contour, pemerah pipi, pembayang mata dan highliter (Set Epie x Siti Pro Pallete) yang mudah dibawa ke mana sahaja.

Saya mengambil masa sebulan menjalani R&D bagi memilih warna pembayang mata yang cantik dan bersesuaian dengan cuaca Malaysia agar kekal mampan pada wajah.

Selain Set Epie x Siti Pro Pallete, koleksi Set Epie x Siti Pro Series juga menawarkan Set Epie x Siti Pro Brush yang terdiri daripada enam berus utama.

5) Apa nasihat Nuex dan Epie kepada generasi muda khususnya golongan jejaka yang berminat untuk menjadikan bidang solekan sebagai kerjaya tetap?

NUEX: Nasihat saya kepada lelaki di luar sana, teruskan hasrat jika mahu menjadi jurusolek. Jangan sesekali berputus asa apabila menerima sebarang kecaman daripada orang sekeliling. Anggaplah kata-kata negatif itu sebagai pemangkin untuk berjaya.

Selain itu, sebelum melebarkan sayap dalam bidang solekan pastikan anda memiliki segulung diploma atau ijazah. Ini disebabkan institusi pengajian tinggi bukan sahaja mendedahkan ilmu pengucapan awam, malah mendidik kita menjadi individu yang berkeyakinan tinggi dan bijak membuat keputusan.

EPIE: Jangan terlalu bergantung pada tutorial dalam Youtube kerana hasil solekan menerusi video tidak sama dengan realiti. Apa salahnya, melabur sedikit kos menghadiri kelas dan berguru bersama jurusolek profesional kerana kita bukan sahaja belajar teori, malah berpeluang melakukan praktikal di depan para guru.