BEKAS pelari lompat pagar Amerika Syarikat, David Patrick dikatakan bakal dilantik sebagai Ketua Jurulatih Olahraga negara yang baharu.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berkata, Patrick, 58, adalah calon di kedudukan teratas yang sedang difikirkan oleh kesatuan itu, dengan kejayaannya di dalam dua disiplin sukan, lari lompat pagar dan pecut semasa zaman kegemilangan beliau di penghujung 1980 hingga awal 1990-an.
Bagaimanapun, Karim berkata, beliau akan membawa perkara ini kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk perbincangan lanjut kerana ia akan melibatkan dana yang besar untuk membayar gaji bekas atlet berasal dari Illinois, itu.
Selain daripada calon Amerika itu, kami juga menerima permohonan pelbagai calon dari beberapa negara seperti Ukraine, Perancis, Afrika dan Jamaica.
Permintaan mendapatkan jurulatih luar datang daripada jurulatih kami -- Mohd Poad Md Kassim dan M. Balamurugan yang mahu melihat atlet kita akan melangkah jauh melangkaui peringkat Asean,” katanya dalam satu sidang media, di sini semalam.
Patrick menjadi sebutan dalam dunia olahraga selepas beliau memenangi pingat perak dalam Sukan Olimpik 1992 Barcelona selain memenangi pingat emas dalam Piala Dunia IAAF 1989 di Sepanyol.
Mengulas lanjut, Karim berkata, beliau yakin Patrick akan membawa olahraga Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi jika beliau menggalas tugas ini.
Sementara itu, Karim berkata, KOM menyenaraikan 30 atlet untuk melalui proses pemilihan untuk beraksi di Sukan Sea 2019 Filipina, dengan hanya yang terbaik akan diberi peluang untuk mewakili negara.
Beliau berkata, atlet berpotensi dari luar program kebangsaan juga akan dijemput untuk menyertai proses pemilihan, tetapi terserah kepada KOM dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk membuat keputusan akhir.
"Jumlah itu belum dimuktamadkan lagi kami akan mengurangkan bilangannya dan kami akan menghantar senarai nama atlet yang layak kepada Majlis Olimpik Malaysia, mungkin penghujung Julai tahun depan,” Karim berkata. - Bernama