Penguatkuasaan pengurusan sisa toksik perlu ditingkatkan

Iklan
Ir Khairil Nizam

SHAH ALAM - Pemuda Pas menegaskan kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan pengurusan sisa toksik supaya tragedi pencemaran di Pasir Gudang tidak terus berulang.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, peruntukan pengurusan sisa toksik yang perlu diberikan perhatian adalah berdasarkan Pengurusan Bahan Buangan Terjadual Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Bahan Buangan Terjadual (PPBBT) 2005.

Iklan
Iklan

"Pemuda Pas memandang serius perkara ini memandangkan peruntukan sedia ada di dalam PPBBT 2005 mewajibkan pihak pengeluar sisa toksik memaklumkan kepada pihak berwajib dalam masa 30 hari.

"Kami melihat peruntukan PPBBT 2005 yang menetapkan garis panduan pengurusan sisa buangan terjadual secara 'cradle to grave' bermula dari mula sisa toksik dihasilkan sehinggalah ia dilupuskan secara selamat, sepatutnya dapat menghalang tragedi ini daripada berulang,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Iklan

Pemuda Pas juga curiga mengapa kejadian sama berulang akibat pencemaran sisa toksik yang masih dalam siasatan pihak berwajib.

"Kami sangat curiga bagaimana tragedi ini boleh berulang dalam masa singkat. Adakah disebabkan proses pembersihan tidak lengkap atau berpunca dari sumber pencemaran baru?,” soalnya.

Iklan

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan insiden pencemaran udara di Pasir Gudang tidak sepatutnya berlaku selepas terjadinya insiden serupa sebelum ini.

Dr Mahathir berkata demikian merujuk kepada Insiden Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada Mac lepas yang turut menyebabkan pencemaran udara dan simptom lebih kurang serupa pada orang ramai di situ.

Sementara itu, Khairil Nizam berkata Pas turut mengarahkan Jabatan Amal Malaysia (JAM) turun ke lokasi bagi membantu agensi-agensi kerajaan dalam memberikan khidmat kepada masyarakat setempat.

"Sebanyak empat stesen kawalan dan bantuan di kawasan terbabit telah pun diwujudkan. Pemuda Pas juga mengarahkan Pemuda Pas negeri dan kawasan untuk melakukan solat Hajat dalam waktu terdekat di seluruh negara agar dimudahkan segala usaha menyelamat dan mengawal situasi di sana serta diberikan kesabaran dan kerahmatan kepada mangsa-mangsa dan keluarga mereka,” katanya.