Seleweng diesel guna subsidi nelayan

Iklan
Tiga individu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel yang di peroleh di Jeti Nelayan Pantai Parit Jawa, Muar.

MUAR - Membeli ribuan liter diesel menggunakan subsidi nelayan sebelum bahan api itu dijual dengan harga murah kepada pihak industri.

Demikian modus operandi dilakukan sekumpulan sindiket bagi memperoleh keuntungan mudah apabila diesel itu ditawarkan pada harga RM2.10 seliter.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, taktik kotor itu berjaya ditumpaskan apabila tiga individu diberkas dalam Ops Landai oleh pegawai dan anggota dari Pasukan Polis Marin Wilayah (PPM W) 2 Muar.

Komander PPM W2, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, dalam serbuan diketuai Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Muar, Deputi Superintendan Nordin Osman semalam telah berjaya merampas 1,200 liter minyak diesel membabitkan nilai semasa berjumlah RM2,640.

Iklan

"Serbuan dilakukan pada jam 12.30 tengahari di sebuah premis di Jalan Temenggung Ahmad. Suspek utama berusia 29 tahun ketika itu di berada di atas lori jenis Isuzu dan sedang leka mengepam kesemua diesel dalam tong jerikin untuk dimasukkan ke sebuah tong lain.

Tong digunakan untuk menyimpan diesel sebelum bahan api itu dijual secara liter kepada industri.

"Dua lagi pekerjanya yang berada di premis turut ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kegiatan ini. Hasil pemeriksaan awal, kesemua mereka mengakui melakukan penyelewengan dengan membeli minyak diesel dari bot-bot nelayan untuk dijual kembali kepada industri,” katanya kepada pemberita.

Iklan

Menurut Paul, tiga individu ini bagaimanapun gagal ketika diminta mengemukakan sebarang dokumen atau permit menyimpan minyak yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Turut dirampas sebuah lori satu tan dan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.

"Selain itu, 18 unit tong jerikin, dua unit tangki berkapasiti 1,000 liter dan dua unit pam juga dirampas. Nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM110,000,” katanya.

Tiga individu ditahan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel yang di peroleh di Jeti Nelayan Pantai Parit Jawa, Muar.

Tambahnya, tiga individu itu kini direman di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan kes diserahkan kepada KPDNHEP cawangan Muar.