PASANGAN pelakon Korea terkenal yang membintangi drama popular Descendants Of The Suns, Song Hye Kyo dan Song Joon Ki sudah menfailkan perceraian.
Selepas dua tahun melayari bahtera perkahwinan, Joon Ki diwakili firma guaman memfailkan perceraian dengan Hye-Kyo di Mahkamah Keluarga Seoul semalam.
Menurut Joon Ki, dia terpaksa mengambil keputusan untuk meneruskan penceraian dengan isterinya dan meminta semua peminat untuk memberi ruang buat mereka.
"Saya mohon maaf kerana menyampaikan berita buruk kepada mereka yang menyayangi dan menyokong saya,” katanya.
Jurucakap agensi pengurusannya, Blossom Entertainment, memberitahu, punca perceraian adalah perbezaan personaliti dan mereka tidak dapat mengatasi perbezaan itu yang akhirnya membuat keputusan sungguh berat.
"Kami juga meminta anda tidak membuat kenyataan berbentuk spekulasi,” katanya.
Terdahulu, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 31 Oktober 2017 di The Shilla Hotel, Seoul.
Mereka dipercayai menjalinkan hubungan cinta selepas sama-sama menjayakan drama popular Descendants of the Sun pada 2016. - Bernama