ASASI harap inisiatif kerajaan pusat dijadikan contoh

Iklan
Puzi

ALOR SETAR - Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) berharap inisiatif kerajaan pusat menghargai sasterawan dan tokoh budaya negeri melalui pemberian sumbangan Elaun Penghargaan Bulanan dijadikan contoh.

Ketua Satu ASASI, Puzi Hadi berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Kewangan yang menyalurkan sumbangan Elaun Penghargaan Bulanan kepada Sasterawan Negara melalui Kementerian Pendidikan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sumbangan elaun penghargaan itu disifatkan wajar sebagai tambahan kepada beberapa insentif sedia ada kepada penerima Anugerah Sasterawan Negara.

"Sumbangan elaun kira-kira RM5,000 seorang kepada tujuh Sasterawan Negara ini dirasakan berpatutan untuk meringan serta dimanfaatkan oleh mereka bagi khidmat sastera secara berterusan.

Iklan

"Ketika ini, tujuh Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A Samad Said, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan, Datuk Dr Mohd. Anwar Ridhwan, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala), Datuk Dr Baharuddin Zainal (Baha Zain) dan Datuk Dr Zurinah Hassan menerima elaun itu," katanya kepada Sinar Harian.

Namun, kata beliau, pada masa sama, ASASI berharap ia menjadi contoh kepada semua kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menyumbang elaun penghargaan itu.

Iklan

Katanya, sumbangan elaun penghargaan diharapkan dapat diberikan kepada sasterawan dan tokoh budaya negeri yang banyak menyumbang jasa kepada persuratan negeri masing-masing.

Puzi berkata, pihaknya menyuarakan harapan supaya golongan ini diberi penghargaan memandangkan bilangan terhad untuk menerima Anugerah Sasterawan Negara.

"Di Kedah, terdapat beberapa sasterawan mapan dengan tahap nasional yang wajar dihargai malah sesuai dipertimbang sebagai karyawan tamu di universiti awam dan institusi pengajian dalam bidang bahasa dan sastera," katanya.

Pihaknya dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) ketika ini masih menanti lampu hijau daripada kerajaan negeri untuk mewujudkan Anugerah Sastera Darul Aman (ASDA) kepada penulis Kedah berdasar sumbangan karya kreatif meliputi cerpen, drama, novel, puisi dan kritikan.