Sistem JPJeBID diguna sepenuhnya di KL bulan depan

Iklan

PUTRAJAYA - Mulai 3 Julai ini, sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian JPJeBid akan diguna sepenuhnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bermula dengan nombor pendaftaran VDP.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata pihaknya berpuas hati dengan kelancaran sistem JPJeBid itu yang tidak berdepan dengan masalah akses walaupun pernah merekodkan lebih 8,000 transaksi menjelang tempoh akhir bidaan.

Iklan
Iklan

"Bidaan ini akan berlangsung setiap minggu dengan tempoh lima hari diberikan untuk satu-satu nombor sebelum beralih ke siri nombor seterusnya," katanya pada sidang media mengenai keputusan JPJeBid bagi siri VDN di sini hari ini.

Shaharuddin berkata seramai 903 pembida menggunakan sistem JPJeBid bagi siri VDN itu, dengan bidaan tertinggi adalah sebanyak RM158,000 untuk nombor bernilai utama, VDN1.

Iklan

Daripada 903 pembida itu, 463 daripadanya berjaya dalam bidaan masing-masing, sekaligus membawa hasil kutipan keseluruhan RM1.31 juta, katanya.

Projek rintis sistem JPJeBid dilaksanakan bagi nombor pendaftaran khas untuk Putrajaya iaitu FC pada April lepas.

Iklan

Shaharuddin berkata pihaknya juga mempertimbangkan untuk melaksanakan sistem JPJeBid secara berperingkat ke seluruh negara bermula di negeri seperti Johor, Selangor dan Pulau Pinang. - Bernama