SEPANG - Tiga pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi, Kedah berjaya memenangi Anugerah Perak dalam Pertandingan Genius Olympiad 2019 di Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung pada 17 hingga 21 Jun lalu.
Pada pertandingan tersebut, Muhammad Irfan Mohd Nazri, Nur Hakimi Haque Nurul Haque dan Ahmad Ikmal Kasim memenangi Anugerah Perak menerusi kategori Inovasi Sains.
Menurut ketua pelajar, Muhammad Irfan, beliau tidak menyangka dapat meraih Anugerah Perak dalam pertandingan tersebut kerana saingan daripada peserta lain amat sengit kerana melibatkan peringkat lebih tinggi.
"Kami perlu bersaing dengan pelajar universiti dalam kategori Inovasi Sains, idea mereka juga agak baik.
"Alhamdulillah, mungkin rezeki kami untuk raih perak dalam pertandingan tersebut, projek akan ditambah baik lagi selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Dalam pada itu, guru pengiring pelajar terbabit, Zaiton Abdullah berkata, pertandingan berkenaan dibahagikan kepada enam kategori membabitkan sebanyak 1,289 peserta yang mewakili 79 negara.
"Tiga pelajar kita memenangi Anugerah Perak menerusi ciptaan mereka iaitu ‘Interactive Rehab: Hand Rehabilitation Device With Computer Graphic Interaction’ dalam kategori Inovasi Sains.
"Pada mulanya, mereka cipta projek ini pada tahun lalu untuk sertai pertandingan peringkat MRSM Langkawi sahaja,” katanya.
Menurut Zaiton, seterusnya ciptaan itu ditambah baik ketika pelajar menyertai Pertandingan International Invention, Innovation & Technology Exhibition, Malaysia (ITEX) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Mei lalu.
"Kejayaan ini membanggakan semua pihak, malah kami amat bersyukur kerana berjaya mengharumkan nama negara di pentas dunia. Kami juga berharap kejayaan ini jadi pemangkin kepada MRSM lain,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Badan Muafakat MRSM Langkawi, Datuk Sayed Alfeizal Sayed Ahmad berkata, berharap kejayaan berkenaan menjadi pemangkin kepada MRSM lain untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
"Penyertaan di peringkat antarabangsa merupakan pendedahan yang baik kepada pelajar. Melalui penyertaan ini, kita dapat ketengahkan lagi setiap projek yang dihasilkan oleh pelajar MRSM,” katanya.