Perak utamakan tanaman padi

Iklan
Abdul Yunus ketika ditemui pada sidang media hari ini.

IPOH - Kerajaan negeri tetap akan mengutamakan keperluan pembangunan pertanian terutama melibatkan kawasan sawah padi dengan mengekalkan dan menambah keluasan sedia ada.

Exco Kemudahan Awam, Infrastrutruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, langkah itu bagi menjamin pengeluaran makanan negara tanpa perlu terlalu bergantung kepada bekalan import.

Iklan
Iklan

"Padi ini merupakan makanan keselamatan untuk rakyat, jadi dari aspek pengeluaran dan keluasan tanamannya perlu dijaga.

"Pendirian kerajaan jelas untuk tetap menjaga tanaman padi ini supaya bekalan kepada rakyat berterusan," katanya kepada pemberita hari ini.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Paul Yong Choo Kiong bahawa Kerajaan Perak sedia meluluskan penukaran status tanah pertanian tanaman padi di daerah Kerian bagi tujuan pembangunan perumahan.

Penukaran status tanah itu bagaimanapun akan dikaji secara terperinci termasuk mengadakan sesi pendengaran awam sebelum diluluskan.

Iklan

Abdul Yunus berkata, kerajaan tidak sewenangnya membenarkan mana-mana pertukaran status tanah pertanian apatah lagi sawah padi bagi tujuan pembangunan termasuklah perumahan.

"Di Kerian sepertimana kita tahu memanglah kawasan sawah padi terbesar di negeri ini, jadi permintaan (perumahan) itu mungkin ada, tetapi ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

"Bagi saya, apa yang dinyatakan Paul Yong itu dari sudut portfolionya sebagai Exco Perumahan dan ia bersempena dengan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2035 yang mana dalam tempoh itu sebarang cadangan boleh disuarakan," katanya.

Menurut beliau, pada ketika ini, Kerajaan Perak menerusi Jabatan Pertanian dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dalam usaha menambah keluasan sawah padi dengan mewartakan lebih 7,000 hektar kawasan padi luar jelapang di Seberang Perak untuk dimasukkan sebagai kawasan jelapang agar pembangunan terancang dapat dilakukan.

"Di peringkat jabatan telah selesai, perkara ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk kelulusan sebelum diangkat ke pihak kementerian," katanya.