GEORGETOWN- Sebuah bot kenka tempatan ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang kerana dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan pukat kenka dua bot.
Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, pihaknya telah mengesan dua buah bot kenka yang sedang melakukan aktiviti tersebut pada kedudukan 3.3 batu nautika dari Barat Laut Muara Sungai Kerian berhampiran Sungai Udang, Nibong Tebal.
Menurutnya, bagaimanapun salah sebuah bot berkenaan berjaya meloloskan diri ketika bot APMM menghampiri mereka.
"Rondaan rutin dibuat pada jam 5.30 pagi tadi di sekitar perairan Pulau Pinang. Dua warga tempatan berusia 41 dan 47 tahun ditahan atas kesalahan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan di luar kawasan yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan media tadi.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas segulung pukat kenka, lapan bakul ikan, tiga tong ikan dan satu tong mengandungi ikan bercampur.
"Anggaran berat ikan tersebut adalah 370 kilogram (kg). Kesemua rampasan dan dua nelayan itu dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk siasatan serta tindakan lanjut.
"Kita akan terus meningkatkan pemantauan dan rondaan di perairan Pulau Pinang agar aktiviti menyalahi undang-undang jenayah laut dapat dibanteras sebaiknya," katanya.