KUALA LUMPUR - Jejantas hanya perhiasan. Itu gambaran tepat apabila pejalan kaki lebih sanggup mengambil risiko atau seolah-olah menggadai nyawa sendiri apabila melintas atas jalan yang sibuk dengan trafik daripada menggunakan kemudahan itu.
Dalam Operasi Jejantas Siri 20/2019 di Jalan Tuanku Abdul Rahman semalam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan sebanyak 30 notis kompaun bagi kesalahan itu.
Sumber dari Unit Media DBKL berkata, sepasukan pegawai dan anggota Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan DBKL terlibat dalam operasi tersebut.
"DBKL mengesan masih terdapat orang awam yang melintas jalan tanpa menggunakan jejantas yang disediakan serta ingkar papan tanda 'dilarang melintas'
"Tindakan operasi dijalankan adalah bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna dan mengelak dari berlakunya kemalangan," katanya.
Katanya, sebanyak 657 notis dikeluarkan dengan 20 siri tindakan setakat kini.
"Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan di bawah peruntukan undang-undang Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.
"Operasi seumpama ini akan di teruskan dari semasa ke semasa," katanya.