Pasar terapung berhampiran drawbridge: MB Terengganu

Iklan
Jambatan angkat yang menghubungkan bandaraya Kuala Terengganu dengan Seberang Takir, Kuala Nerus. Gambar kecil: Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu telah mengenal pasti beberapa lokasi bersesuaian berhampiran jambatan angkat atau ‘drawbridge’ untuk dijadikan pasar terapung yang pertama di Terengganu.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mengambil kira konsep pasar terapung yang begitu popular di negara jiran seperti di Thailand dan Indonesia, ia dijangka akan diwujudkan di pesisir muara Sungai Terengganu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia sekali gus akan menjadi tarikan tambahan kepada sektor pelancongan negeri ini.

"Sebenarnya kita telah melihat bagaimana pelaksanaan dan pengoperasian pasar terapung di negara luar seperti di Hatyai, Thailand dan Bandung, Indonesia. Daripada situ, kita sudah mengenal pasti beberapa masalah yang perlu diambil perhatian termasuk isu sampah di kawasan perairan.

Iklan

"Kita nak wujudkan pasar terapung ini supaya menjadi satu tarikan baru selaras dengan pembangunan jambatan angkat yang kini menjadi sebutan di serata dunia terutama negara Asia.

"Memang kalau dilihat, masa hendak buat jambatan angkat pun ramai yang persoalkan isu pencemaran dan sebagainya, tetapi lihatlah kesannya apabila siap ia menjadi sebutan dan kebanggaan ramai,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan Pas Terengganu, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana operator sukan paragliding untuk beroperasi di Bukit Maras, Kuala Nerus yang kini menjadi tumpuan peminat sukan ekstrem itu.

"Melihatkan kepada bentuk muka bumi di Bukit Maras, ia memang sesuai dijadikan lokasi untuk mengadakan aktiviti paragliding.

"Justeru, kita alu-alukan operator yang berminat untuk beroperasi di Bukit Maras. Secara tidak langsung, ia akan dapat memastikan aspek keselamatan peminat sukan itu terutama sekiranya berlaku sebarang kemalangan tidak diingini,” katanya.