YAN - Kesukaran pelajar Sekolah Menengah Maktab Mahmud menjalani aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kontena mendapat perhatian ramai.
Penyelaras DUN Sungai Limau, Zahran Abdullah berkata, beliau dan pihaknya telah membuat lawatan ke sekolah berkenaan, semalam.
Katanya, meskipun suasana dalam kontena agak sejuk disebabkan adanya penyaman udara, namun keadaan fizikal kontena tersebut agak membimbangkan kerana terdapat lantai yang sudah pecah.
"Lantai yang diperbuat daripada papan biasa dilihat tidak mampu bertahan lama dan ini mendatangkan bahaya kepada pelajar," katanya.
Menurut Zahran, antara tindakan yang akan diambil ialah memohon agar bangunan baharu sebagaimana yang diminta oleh pihak sekolah dapat dipercepatkan oleh pihak kerajaan negeri.
"Ia perlu bagi membolehkan pelajar mendapat kemudahan kelas yang lebih selesa agar penumpuan penuh dapat diberikan kepada sesi pembelajaran.
"Untuk peringkat awal, kita akan bantu memohon lantai kelas tersebut dapat dibaiki dan diperkemaskan agar tidak mendatangkan bahaya kepada pelajar," katanya.
Tambah Zahran, jumlah pelajar yang ramai di dalam kontena itu menjadi beban kepada struktur lantai.
"Insya-ALLAH kita akan salur segera bantuan setakat kemampuan dan bantuan besar terpaksa menunggu dana daripada kerajaan," katanya.