JOHOR BAHRU - Sentiasa mahu berkongsi dan itulah yang menjadi prinsip Normah Alimon, 49, yang merupakan guru mengaji al-Quran di Rumah Ngaji Al-Hassan Kampung Melayu, Pontian Besar Kiri.
Normah kini menghabiskan masa dengan mengajar al-Quran di Rumah Ngaji Al-Hassan yang baharu dibuka enam bulan lalu.
Menurut ibu kepada tiga anak ini, dia gembira kerana masih diberikan kesihatan untuk membimbing lebih ramai orang mendekatkan diri kepada al-Quran.
Katanya, dia amat bersyukur diberi peluang menjadi anak murid kepada Allahyarham Abu Hassan yang merupakan seorang guru mengaji yang cukup disegani di Pontian.
"Sebelum ini saya cuma buat kuih dan menjual produk kuih-muih sejuk beku.
"Minat terhadap al-Quran sentiasa ada walaupun sibuk menguruskan anak-anak. Syukur saya diberikan peluang untuk belajar ilmu agama dan mengaji di bawah didikan Allahyarham Abu Hassan pada 1999. Menyedari ilmu agama dan mengaji al-Quran cukup luas, Normah tidak pernah berhenti belajar.
"Saya teruskan pengajian dengan Ustazah Norhayati yang merupakan anak sulung kepada Allahyarham Abu Hassan,” katanya kepada Sinar Harian.
Bangunan madrasah yang dulu menempatkan pelajar tahfiz kini bertukar menjadi tempat bagi orang ramai tanpa mengira peringkat usia mengaji al-Quran.
Menempatkan sebuah bangunan Dewan Al-Quran, pelbagai aktiviti dijalankan bagi menggalakkan lebih ramai orang datang mengaji.
Normah melihat kehadiran orang ramai ke Dewan Al-Quran sungguh memberangsangkan di mana rata-rata mereka cukup teruja untuk belajar dan mendalami ilmu mengaji.
Namun, tidak dinafikan masih ada yang memerlukan bimbingan bagi membaiki mutu bacaan.
Justeru Normah dibantu suami, Abdul Ghaffar Awang, 51, mengambil keputusan untuk membuka Rumah Ngaji.
"Saya tertarik dengan program Rumah Ngaji oleh Kumpulan Media Karangkraf. Di Johor sudah ada Rumah Ngaji Johor di Taman Perling.
"Konsep Rumah Ngaji yang membimbing dari kosong cukup menarik dan saya mahu membantu lebih ramai orang terus membaca al-Quran,” katanya.
Katanya, dia kemudian mendaftar Rumah Ngaji tersebut dan diberikan bantuan kelengkapan seperti pendingin hawa, meja dan kerusi dari Kumpulan Media Karangkraf.
Normah berkata, dia cukup terharu melihat ada dalam kalangan murid Rumah Ngaji yang berusia 76 tahun belajar mengenal huruf.
Selain itu, ramai suri rumah yang datang membawa anak-anak belajar mengaji di Rumah Ngaji.
"Ada yang menyusukan anak sambil mengaji. Semangat mereka untuk dalami al-Quran cukup tinggi,” katanya.