TAIPING - Polis dapat menghalang kegiatan penyeludupan migran apabila memintas sebuah kereta membawa 11 individu dipercayai warga Myanmar di KM 223.6 Lebuh Raya Utara Selatan arah Utara di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 pagi itu, pasukan peronda lebuh raya menerima maklumat terdapat sebuah kereta jenis Proton Persona dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pemandu dipercayai warga tempatan bertindak memecut kenderaannya ketika polis cuba menahan untuk pemeriksaan.
"Pasukan tersebut berjaya memintas dan menahan kereta terbabit. Semasa membuat pemeriksaan, pemandu dan enam penumpang telah keluar dan melarikan diri dengan memanjat pagar dawai besi.
"Mereka meninggalkan dua wanita yang berada di tempat duduk belakang dan hasil pemeriksaan menemui tiga lelaki terbaring dalam but kereta tersebut,” katanya.
Osman berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua tangkapan yang berusia 19 hingga 42 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
"Siasatan lanjut mendapati mereka mengakui bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit di Bahau, Negeri Sembilan dan dipercayai dalam perjalanan ke utara untuk balik ke negara asal.
"Mereka juga tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai pemandu terbabit. Semakan mendapati pemilik sebenar kenderaan tersebut juga sudah meninggal dunia,” katanya.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.