Tudung termahal di dunia RM70,000 sudah ditempah

Iklan
Haliza

KOTA BHARU - Jika tudung Bawal Exclusive (BE) bernilai RM50,000 yang sudah dimilik dianggap harganya tidak masuk akal, kali ini nitizen tidak perlu terkejut kerana tudung termahal di dunia berharga RM70,000 pula bakal diperagakan.

Perkara tersebut dimaklumkan Pengasas BE, Haliza Maysuri, sempena Oscar’s Glamorous Night With As Galleria malam tadi sekali gus memecah rekod harga tudung termahal sebelum ini iaitu RM50,000.

Iklan
Iklan

Haliza berkata, tudung bertahtakan swarovski yang diimport dari Austria itu sudah ditempah dan bakal menjadi milik seorang usahawan berusia 30-an dari negeri Kelantan.

Kelainannya untuk tempahan kali ini, beliau berkata, wanita tersebut mahukan tudung warna biru itu dihiasi dengan kemewahan dasar laut.

Iklan

Katanya, tudung corak lain dari yang lain itu ditempah menerusi butik As Galleria milik Rabiatul Hasmak Ghani di Lembah Sireh, Kota Bharu baru-baru ini.

"Sebelum kami bersetuju terima tempahan. Syarikat telah merujuk kepada ibu pejabat kerana ini bukan tudung yang biasa-biasa, harganya termahal.

Iklan

"Kami akan gunakan kidmat pakar dari Itali yang berada di Singapura untuk hasilkan tudung demi memberi kepuasan kepada pemiliknya,” katanya pada sidang akhbar malam tadi.

Majlis meraikan 300 pembeli setia terpilih dengan nilaian belian minimum RM5,000 sehingga RM100,000 setahun itu turut dihadiri Pengarah Urusan Swarovski Asia Tenggara dan New Zealand, Sebastian Cox.

Katanya, selain menggunakan swarovski tulen, tudung berkenaan menjadi mahal kerana setiap satu permata itu disusun menggunakan tangan satu persatu dan bukannya dihasilkan oleh mesin.

Baru-baru ini heboh berikutan tudung bawal hitam jenama BE bernilai RM50,000 menjadi milik seorang usahawan juga dari Pantai Timur iaitu di Pahang.

Untuk rekod, wanita di Kelantan pernah membeli tudung BE berharga RM10,000 sehelai, RM21,600 dan pada tahun lepas pula bernilai RM33,000 sehelai.

Kegilaan terhadap tudung BE tidak dapat dinafikan lagi memandangkan seseorang itu sanggup berbelanja puluhan ribu ringgit untuk sehelai tudung.

Mengulas lanjut Haliza berkata, pihaknya tidak menjadikan perkongsian mengenai tudung yang bernilai RM70,000 itu sebagai strategi melariskan jualan tetapi ia satu realiti.

"Kami mempunyai bukti resit pembelian dan sebagainya. Lagipun kami bersyukur BE sudah menjadi pilihan dan dipercayai sejak 21 tahun lalu lagi,” katanya.

Katanya, bagi pemakai setia BE, mereka sudah mengetahui dan merasai kelainannya mahupun keistimewaan berhijab dengan jenama keluaran syarikatnya

"Saya pernah bertanya mengapa sanggup bayar mahal hanya untuk sehelai tudung satu meter ini.

"Jawapannya semua adalah demi kepuasan diri sendiri dan bukannya untuk menunjuk-nunjuk. Lagipun pembelinya tidak mahu dikenali.

"Individu itu juga memberitahu, jika harga kasut keluaran negara luar berharga belasan ribu ringgit boleh dibeli inikan pula tudung yang boleh menutup aurat dan dibuat oleh usahawan tempatan,” katanya.